20 Okt 2014

5 Sebab Mengapa Perlu Mula Berniaga Di Instagram


Seorang dropshipper kami berjaya buat jualan bersih RM2000 sebulan. Kami terkejut dengan pencapaiannya dan bertanya apakah rahsia beliau.

"Belajar copywriting ke?"

"Tak."

"Guna Fb ads ke?"

"Tak."

"Guna Google Adwords ke?"

"Tak."

"Habis tu pakai apa?"

"Instagram je."

Poin yang sangat penting disini, jika Facebook tidak lagi berpihak kepada kita, adakah kita berani beralih kepada platform media sosial lain?

Jika jawapan anda "Ya", mulakan langkah baru untuk belajar dan kaji platform Instagram. Kami juga terpaksa mengorak langkah berani ini untuk belajar dan menjadi orang baru dalam bisnes online di Instagram.

Kata Tuan Hasbul 'Aqil ketika kursus di Majalah Niaga pada tahun 2012, platform Facebook dijangka akan bertahan 5 hingga 6 tahun lagi. Ini bermakna, Facebook akan mendapat saingan hebat seperti Google+, Instagram, Tumblr, Pinterest dan banyak lagi.

Lihat sahaja media sosial baru seperti Ummaland, Myheppi, Millatfacebook dan sebagainya yang tidak kurang hebat saingannya juga memberi tempias kepada Facebook walaupun masih hijau.

Disini, kami kongsikan 5 sebab mengapa anda perlu berniaga di Instagram :

1. Port Niaga Ramai Usahawanita
Kini, ternyata Instagram sudah menjadi port niaga ramai usahawanita dalam memperkenalkan dan menjual produk mereka.

Trend "Boutique Concept" yang bermula di Shah Alam, kini menular sehingga ke selatan tanah air juga dikatakan bermula di Instagram. Banyak butik konsep yang terkenal seperti Ashhannas, Bellaammara, Minaz, Leeyana Rahman dan ramai lagi menggunakan platform Instagram untuk menviralkan potensi perniagaan mereka.

2. Jumlah Reach Dan Impression Yang Tinggi
Setiap posting di Instagram boleh sampai kepada ramai followers melebihi kapasiti reach di Facebook. Begitu juga dengan jumlah kekerapan post yang dilihat (impression). Cuba scroll Instagram anda. Lihat betapa mudahnya mendapatkan love, komen dan pengikut baru.

Apa sahaja posting yang anda dan orang yang anda follow keluarkan akan berada di newsfeed Instagram tanpa batas waktu dan jumlah. Waktu posting pula diukur berdasarkan saat (s), minit (m), jam (h), hari (d) dan minggu (w).

3. Pengguna Instagram 100% Manusia
Instagram hanya boleh dioperasikan melalui telefon bimbit. Ini bermakna, satu kad sim hanya mewakili satu akaun Instagram sahaja. Jika anda berniat ingin membuka 2 akaun Instagram, maka anda perlu memiliki sebuah lagi kad sim dan telefon bimbit.

Jadi, kebarangkalian wujud akaun palsu (melainkan scammer) adalah rendah.

4. Kuasa Hashtag Menviralkan Perniagaan Anda
Simbol # (Hashtag) sangat berkesan di Instagram. Penggunaan Hashtag yang betul untuk bisnes online seperti #sayajual, #visitmyig dan #onlinebisnes akan melonjakkan perniagaan anda. Uniknya, anda boleh cipta hashtag sendiri dan viralkannya. Atau ikut trend hashtag terkini.

5. Peniaga Di Instagram Masih Rendah Berbanding Facebook
Dalam tempoh 24 jam, terdapat beratus ribu pengguna baru mendaftarkan akaun di Facebook. Bayangkan, betapa ramainya sekarang peniaga online di Facebook telah menyebabkan saingan terlampau tinggi.

Tidak cukup dengan peniaga lain yang membunuh harga, terdapat pula peniaga yang suka mencantas pelanggan orang lain.

Berbeza di Instagram, peniaga online masih belum tepu. Sehingga artikel ini dikeluarkan, anda masih sempat mendaftarkan akaun baru di Instagram dan mula berniaga di sana.

---

Sekarang anda patut fikirkan soal survival perniagaan online anda. Jika anda mahir copywriting dan mempunyai bajet untuk iklan, saya sarankan anda menggunakan Facebook Ads dan Google Adwords.

Tetapi jika anda kedekut untuk keluarkan kos pemasaran, Instagram-lah jawapannya. 100% percuma dan mudah!

Ini bukan bermakna saya minta supaya kita tinggalkan platform sedia ada. Tetapi cuba belajar dan kaji platform Instagram sementara reach-nya masih tinggi seperti Facebook suatu ketika dahulu.

2013 adalah tahun Facebook.
2014 adalah tahun Instagram.
Barangkali 2015 adalah tahun Google+.

Siapa tahu!

Yang penting jangan berhenti belajar. Saya sendiri sudah habis beribu ringgit untuk belajar bisnes online seperti anda. Mahu tak mahu, kita kena berani berubah.

Kalau berani berniaga, kenalah berani berubah.


P/s : Artikel ini ditulis bagi membantu usahawan online meningkatkan jualan melalui Instagram.

P/s/s : Sila share dan viralkan kepada rakan usahawan online anda jika ia bermanfaat.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

5 Okt 2014

Langkah Pertama Saya Disini


Assalamualaikum dan salam Aidiladha 1435 hijrah!

Syukur kepada Allah kerana telah membuka hati saya untuk membuat dan menulis blog sendiri setelah beberapa tahun saya tinggalkan dunia penulisan.

Sebelum ini, saya pernah memiliki sebuah blog penulisan yang menjurus kepada dakwah dan isu semasa. Jodoh tidak panjang, akhirnya saya ambil keputusan untuk memadam blog tersebut.

Tumpuan saya pada kali ini adalah untuk berkongsi tip-tip serta pengalaman saya berniaga selama hampir 4 tahun. Bermula secara offline, akhirnya online.

Saya bukan pakar bahkan tidak pula berkemahiran tinggi dalam bidang perniagaan. Cuma apa sahaja input terbaru tentang perniagaan, saya akan kongsi di dalam blog ini. Tutorial percuma juga akan diberikan jika ada permintaan.

Penulisan saya kali ini akan berkisar tentang bisnes online yang sedang hangat samada di Facebook, Instagram atau Blogspot.

Jangan lepaskan peluang anda menatap setiap entri terbaru dalam blog ini! Sempena Aidiladha ini, saya berharap blog ini akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Segala maklumat yang dipaparkan adalah 100% percuma untuk manfaat bersama. Anda boleh kongsi dan ambil isinya untuk olahan sendiri.

Sekian, terima kasih.


Muhammad Arif Aizuddin
Usahawan Online

---
Kredit Foto : Freepik
Share: