31 Dis 2016

Tip-Tip Suami Isteri


9. Perkara yang paling kerap berlaku ketika saya rancak berbual bersama isteri semasa memandu kereta ialah terlepas simpang.

8. Jika isteri kuat merajuk, beranikanlah diri membimbing tangan isteri menekan butang remote Astro 118, supaya rajuknya reda bila melihat siaran Go Shop. Agar kasih bertambah erat, belikan sahaja apa yang sedang dipromosikan waktu itu.

7. Sekali sekala ajak suami ubah kedudukan dalam bilik tidur. Memang feeling dia lain macam sikit sebab rasa macam bilik baru.

6. Kita faham tahun 2016 ni semakin mencabar. Tapi kita sebagai isteri tak minta banyak. Cukuplah sekadar suami belikan setiap barang yang keluar kat Go Shop Astro tu sebagai hadiah.

5. Jika pasangan itu saling berbalas kentut dan diselangi dengan gelak tawa, maka ketahuilah bahawa pasangan itu adalah pasangan bahagia dan jarang bertengkar.

4. Kalau orang perempuan tu tetiba je dah siap bertudung, berbedak, usahlah orang laki tanya macam-macam. Sebenarnya dia memang nak sangat berjalan dah tu. Bawak kan aje pergi mana-mana.

3. Orang perempuan tak ramai yang pandai buat lawak. Tapi orang perempuan memang suka gelak ketawa.

2. Isteri yang cantik sentiasa jadi perhatian. Tapi isteri yang baik sentiasa jadi pilihan!

1. Habis kerja suami kenalah balik rumah cepat. Lepas dah balik rumah jangan asyik keluar ngeteh, main futsal dengan kawan je. Kita kat rumah ni nak kawan dengan siapa?

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Tip-Tip Parenting


64. Usah dikesali barang yang pecah atau perabot yang rosak akibat tingkah laku anak. Kerana benda boleh diganti, sedangkan anak tidak.

63. Anak adalah anugerah. Dijaga baik, jadi sunnah. Diabaikan, jadi musibah.

62. Anak kecil yang merajuk bukan kerana mereka terlalu berkecil hati. Mereka hanya mahukan sebuah perhatian.

61. Lihatlah wajah anak. Disitu terletaknya iras-iras wajah kita suami isteri.

60. Apabila kita mengajarkan anak doa-doa, kita akan dapati mereka lebih mudah hafal doa makan berbanding doa lain.

59. Setiap isteri mengharapkan sebuah penghargaan, setiap suami mengharapkan sebuah kesetiaan dan setiap anak mengharapkan sebuah kasih sayang.

58. Walaupun telapak tangan anak kita kecil, namun keinginan mereka untuk capai sesuatu yang dimahukan sangat besar.

57. Didikan dalam pemakanan anak-anak yang menentukan samada sayur itu sahabat atau musuh mereka selama-lamanya.

56. Untuk memahami sebuah pelajaran, masa diperuntukkan. Untuk memahami sikap anak, waktu diperlukan.

55. Anak yang boleh menjadikan barang bukan mainan sebagai mainan sebenarnya adalah anak yang kreatif dan cepat berdikari.

54. Antara perkara yang indah dalam hidup adalah melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

53. Masa kecik-kecik dulu, pegang kepala lembu kira perkara yang paling berani budak lelaki buat. Bila lembu acah angkat kepala, berterabur lari.

52. Walaupun Johan Raja Lawak seorang yang kelakar, namun beliau sebenarnya seorang bapa yang garang dalam mendidik anak-anak.


51. Sebenarnya setiap anak amat berharap kedua ibu bapanya terlibat dalam permainan mereka. Buaian, gelongsor, pasir. Bagi mereka, penyertaan ibu bapa adalah satu penghargaan yang sangat besar. Maka, jangan sesekali mengenepikan pelawaan anak-anak untuk bermain bersama. Mereka bangga apabila kita menjadi rakan sepermainan mereka.


50. Bila dah jadi bapa ni, kalau dapat baca buku satu perenggan pun sudah cukup seronok. Manakan tidak, anak melompat atas badan, pijak perut, cekak leher, semua tu buat saya rasa macam lagi setahun baru boleh habis baca satu buku.


49. Jarang ada bapa yang gemar bermain bersama anak. Jika anda jumpa, hargailah mereka. Kerana mereka sukar ditemui.

48. Apabila anak kecil sudah mula dapat mengesan kehadiran potongan sayur dan bawang halus dalam makanannya, ketahuilah bahawa 'mata' (citarasa) anak kita sangat 'tajam' (cerewet).

47. Senyuman yang paling mencairkan hati adalah senyuman seorang bayi ketika bangun dari tidur.

46. Jika anda tidak tidur ketika anak tidur, ketahuilah bahawa anda tidak akan boleh tidur ketika anak sudah terjaga.

45. Jika anda ajarkan anak dengan sebutan penuh dan betul, anak akan bercakap seperti orang dewasa walaupun usianya baru dua tahun.

44. Tiga tangisan yang akan buat seorang ibu cemas. Tangisan anak ketika bangun tidur. Tangisan anak ketika lapar dan tangisan anak ketika sakit.

43. Satu jenis tangisan yang buat seorang bapa mengetap gigi. Iaitu tangisan seorang anak yang merengek mahukan sesuatu.

42. Hanya ciuman dan pelukan seorang ibu dapat meleraikan kegusaran hati seorang anak.

41. Bila kita jadi seorang ibu, sebenarnya kita akan jadi pemurah. Kita tak kisah berkongsi makan dengan anak dalam satu pinggan. Kalau bapaknya nak ngepau makanan kita pun kita redha kan aje.

40. "Eh, tak comel kalau awak buat muka macam tu. Macam muka sekian... sekian... (watak kartun yang anak tak suka)". Anak akan tersenyum dan berhenti cebik muka.

39. Time dukung dia sibuk nak turun jalan sendiri. Padahal selipar pun tak bawak. Sanggup pulak dia sarung selipar bapak dia saiz 13. Nama pun anak kecik.

38. Setiap ibu sentiasa ingin menggembirakan hati anaknya walau apa jua cara sekalipun.

37. Benda tak elok cepat je dia belajar. Padahal dia dengar sekali je. Benda baik tak nak pulak ikut. Sabar... Kita semua dulu pun macam tu jugak.

36. Anak-anak akan ikut perangai kita satu-satu. Kat depan diorang tunjuk yang baik-baik je. Kalau nak gaduh laki bini, pegi gaduh dalam bilik.

35. Anak kita kalau dah pandai bercakap, ayat yang paling parent dia geram sekali adalah, "Nak buat sendiri... nak buat sendiri!"

34. Jika anda bangun pagi dalam keadaan rambut serabai, namun anak kecil tetap datang memberi anda sebuah ciuman, maka ketahuilah bahawa skrip kasih sayang anda sudah mula berfungsi dengan baik!

33. Anak perempuan memang suka ikut perangai bapak. Kalau bapak dia suka makan kepak ayam, anak tu pun suka makan kepak ayam. Yang paling geram tu bila dua-dua boleh berebut kepak ayam masa tengah makan. Tak tahu nak lepuk siapa dulu.

32. Dulu nak mandi sejam pun takde siapa nak kacau. Sejak bergelar ibu ni, nak masuk jamban pun payah. Ada pulak makhluk comel bulat yang berpaut kat kaki!

31. Siapa sangka, dulu kita dengan tenang "membuang" dalam tandas. Tetapi sejak dua menjak ni, tak sangka kita terpaksa bergaduh dengan anak kecik yang sibuk nak tolong flush-kan.

30. Luar biasa sungguh anak 2 tahun setengah ni. Tengah tidur boleh terjaga pastu terus baca ABC dan sambung tidur semula. Kagum dan lega!

29. Masa dia baby dulu, kalau nangis tengah malam kita nenenkan. Terus diam. Tapi sekarang sejak dah pandai cakap, kalau nangis tengah malam dah tak nak nenen. Pastu dah pandai request nak bancuh sendiri air susu dalam botol kat dapur!

28. Kita bukan tak nak dukung anak masa jalan-jalan kat taman. Tapi kita geram tengok abah dia kat sebelah tu jalan berlenggang. Dia ingat dukung anak 10 kilo ni ringan?

27. Sebenarnya anak kecik kita tengah explore tubuh badan dia. Sebab tu kita nampak dia terkorek-korek mulut, hidung dan anggota lain.

26. Kenapa kena tunggu kita kaya baru nak bawa anak, isteri pergi jalan-jalan? Bawalah mereka berjalan-jalan sekarang atau kita akan hilang kasih sayang.

25. Anak kita tetiba meraung sebab kita tak bagi dia buat benda yang dia nak buat. Dia tak tahu benda tu diluar keupayaan dia. Kita jangan pukul dan marah. Kita kena bantu anak buat benda yang dia nak buat.

24. Perempuan seboleh-boleh nak orang cakap muka anak dia sama macam muka dia walaupun sebenarnya muka anak dia sebijik macam muka laki dia.

23. Apa yang kita tinggalkan untuk anak-anak sebenarnya tak penting. Apa yang kita tinggalkan dalam diri anak-anak itulah yang paling penting.

22. Time cuti ni kalau biarkan anak tengok tv dan main Ipad lama-lama tak bagus. Nanti otak dia pasif. Apa kata lambakkan mainan atas lantai dan start main dengan mereka. Baru otak anak aktif!

21. Sebenarnya setiap anak amat berharap parent dia terlibat dalam permainan mereka. Bagi anak-anak ini adalah satu penghargaan yang besar!

20. Bila kita tidak didik anak untuk menyayangi, maka anak itu akan menjadikan adiknya sebagai mangsa dan tempat lepas geram.

19. Anak kecik ni kalau kita bagi dia makan dengan tangan sendiri, sebenarnya dia akan makan dengan sepenuh hati.

18. Ibu awak suri rumah. Ibu saya pula bekerjaya. Dan kita berdua bertemu di universiti yang hebat, dan dapat pekerjaan yang hebat. Hidup kita hebat bukan kerana jenis pekerjaan ibu kita tetapi kerana ibu kita hebat dalam melaksanakan amanah sebagai seorang ibu!

17. Anak mula buat perangai bila parent baru balik kerja. Meraung la, menjerit la, mengamuk-ngamuk la. Sebenarnya anak rindu kat kita sepanjang hari. Tapi dia tak tahu nak cakap macam mana.

16. Kita bukan tak nak attend wedding kawan. Tapi anak kita melasak sangat. Takut ganggu kelancaran majlis.

15. Dulu petang-petang macam ni la mak selalu tanya, "Esok sekolah, buku dah kemas?", "Baju sekolah dah gosok?", "Kasut bawah peti ais dah kering?". Hari ni soalan yang sama kita ajukan kat anak kita. Rindu betul zaman tu!

14. Saya bersungguh-sungguh jaga anak bukan kerana saya berharap anak akan jaga saya apabila tua. Saya bersungguh-sungguh jaga anak sebab saya nak sempurnakan amanah yang Allah beri.

13. Anak yang jenis suka melanguk depan tv berjam-jam akan kelam kabut pergi baca buku, mandi, solat apabila terdengar bunyi pintu pagar dibuka oleh bapa. Hebat aura bapa!

12. Cara paling pantas untuk mendesak anak-anak berhenti berkelahi adalah dengan berpura-pura buka almari dan ambil hanger.

11. Ada satu bau yang amat disukai oleh semua ibu. Bau ini dikatakan lebih hebat dari jenama minyak wangi paling mahal kerana mengandungi bau masam dan bacin. Itulah bau anak baru bangun tidur di pagi hari!

10. Kertas A4 asalya putih. Jika diconteng-conteng, ia takde nilai. Tapi jika dilukiskan gambar yang cantik, ia jadi sangat bernilai. Begitulah juga dengan anak kita.

9. Anak kalau degil dan kasar bukan maknanya dia ikut perangai kita masa kecik. Tapi dia tak dapat perhatian dan kasih sayang dari kita.

8. Kalau anak kecik tiba-tiba tantrum, kita kenalah tenteramkan dia. Bukan swing tangan kat punggung anak.

7. Time anak jaga, kita pening dia panjat almari, sepahkan barang, merengek menangis. Time anak tidur, kita pulak yang kacau dia. Cium pipi la, usap rambut la, peluk la. Rindulah tu!

6. Saya seorang ibu yang ada degree dari sebuah universiti tempatan dengan pointer yang cemerlang. Tapi saya pilih jadi suri rumah sepenuh masa sebab saya mahu menikmati dan melihat anak membesar di hadapan mata. Ini pilihan saya.

5. Jangan suka beza-bezakan anak. Jangan kerana dia tak pandai akademik, kerja tak bagus, kita sisih dia dari anak yang hebat serba serbi. Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Lazimnya, anak yang tak seberapa 'bagus' itulah yang jaga makan minum kita sampai mati.

4. Kadang kita rasa puas marah, cubit, pukul anak kita masa mereka masih kecil. Lagi 10 tahun tengok sendiri anak yang sama marah, herdik, benci kat kita balik. Masa tu jangan nak salahkan siapa-siapa.

3. Anak kecik kalau tiba-tiba senyap je, mesti ada benda yang dia buat. Rajin-rajin la perhatikan mereka.

2. Tak adil kalau kita cakap anak yang tak pandai akademik tu takde masa depan. Padahal kebolehan dia ada kat bidang lain. Mesti ada punya!

1. Nak tengok anak-anak lebih ceria, lebih responsif dan lebih cerdik? Sila letak tepi segala jenis tab, phone dan layan anak main.

---

Kredit Foto : Freepik
Share:

Tip-Tip Motivasi


77. Orang pendiam terkadang petahnya tidak di mulut, tapi di tangan.

76. Resepi sebuah kejayaan adalah usaha yang berterusan, doa yang sentiasa berkekalan, ikthtiar yang tidak bertepian serta tawakal yang penuh pengharapan.

75. Tak perlu jadi A. Samad Said untuk menulis sebuah buku. Tulislah sebuah buku supaya kita dapat jadi seperti A. Samad Said.

74. Sedang doa Iblis juga dimakbul Tuhan, apa perlu berkirim doa kepada manusia entah apa-apa dengan sekian harga, seolah kau yakin permintaanmu langsung tidak didengar.

73. Orang pendiam terkadang petahnya tidak di mulut, tapi di tangan.

72.  Jika kita merancang untuk berubah, sekarang adalah masanya. Ya, sekarang.

71. Jarak yang jauh mencipta sebuah kerinduan. Jarak yang dekat mencipta sebuah ikatan.

70. Cara membalas dendam terbaik adalah dengan mencipta kejayaan.

69. Betapa banyaknya penyakit (masalah) datang benda yang manis. Betapa banyaknya ubat (penawar) datang dari benda yang pahit.

68. Jika dosa buat kita rasa enggan berdoa, ketahuilah, permintaan Iblis terlaknat juga dimakbulkan Tuhan.

67. Kekecewaan bukanlah suatu sia-sia. Ia mengajar kita bagaimana cara menerima sesuatu keburukan agar tidak dilakukan suatu hari nanti.

66. Kulit putih tak pernah mulia, kulit hitam tak pernah hina. Di sisi Tuhan, hati bersih jadi pilihan.

65. Apabila kegagalan menyebabkan kita mundur satu langkah ke belakang, kita perlu melangkah 10 tapak ke hadapan untuk capai kejayaan.

64. Jika mahu sebuah kejayaan besar, beranganlah sekarang. Kerana sebuah kejayaan bermula dengan satu titik pertama. Iaitu berfikir.

63. Berhenti menyalahkan sesiapa jika berlaku masalah. Sebaliknya mula mencari jalan penyelesaian.

62. Kejayaan akan lenyap jika usaha mengekalkan kejayaan dihentikan atau tidak dilakukan.

61. Banyak perkara susah akan jadi mudah apabila latihan diperbanyakkan.

60. Rama-rama cantik yang terbang bebas itu dahulunya adalah seekor ulat hodoh yang terkurung di dalam kepompong yang sempit.

59. Dibelakang sebuah kejayaan selalunya berdiri sebuah usaha yang gigih, hati yang cekal dan doa yang tidak pernah putus.

58. Lihat bagaimana si kecil yang mula belajar berjalan. Mereka jatuh berulang kali namun tetap bangun berdiri. Walau sakit, mereka tetap bertatih dengan girang.

57. Terlalu memikirkan masalah kecil boleh membuatkan ia jadi masalah besar. Memperkecilkan masalah kecil juga boleh menjadikan ia suatu masalah besar.

56. Penolakan sentiasa berlaku dalam kehidupan. Ia bergantung kepada kita bagaimana cara mengubahnya agar menjadi sebuah penerimaan.

55. Bukanlah gagal itu kerana tersungkur setelah mencuba, tetapi gagal itu adalah kerana tidak berani mencuba atau berhenti setelah mencuba.

54. Rama-rama cantik yang terbang bebas itu dahulunya adalah seekor ulat hodoh yang terkurung di dalam kepompong yang sempit.

53. Dibelakang sebuah kejayaan selalunya berdiri sebuah usaha yang gigih, hati yang cekal dan doa yang tidak pernah putus.

52. Lihat bagaimana si kecil yang mula belajar berjalan. Mereka jatuh berulang kali namun tetap bangun berdiri. Walau sakit, mereka tetap bertatih dengan girang.

51. Terlalu memikirkan masalah kecil boleh membuatkan ia jadi masalah besar. Memperkecilkan masalah kecil juga boleh menjadikan ia suatu masalah besar.

50. Penolakan sentiasa berlaku dalam kehidupan. Ia bergantung kepada kita bagaimana cara mengubahnya agar menjadi sebuah penerimaan.

49. Bukanlah gagal itu kerana tersungkur setelah mencuba, tetapi gagal itu adalah kerana tidak berani mencuba atau berhenti setelah mencuba.

48. Seluruh manusia berebut-rebut mencari wang walaupun mereka tahu wang bukanlah segala-galanya.

47. Duit bukanlah akar kejahatan. Manusia yang mencari duit dengan cara kejahatan itulah kejahatan sebenar.

46. Wang tidak boleh membeli kebahagiaan. Tetapi kebahagiaan akan diperolehi setelah kita memberi wang (bersedekah).

45. Jadilah seperti harimau jantan. Ia berusaha mencari makanan sendiri tanpa menyusahkan harimau lain. Jangan jadi seperti singa jantan yang mempergunakan singa betina untuk mendapatkan makanan.

44. Jadilah seperti lebah yang mencari bunga dan madu di taman yang indah. Jangan sesekali menjadi babi yang mencari kotoran dan merosakkan taman yang indah.

43. Badan akan binasa akibat terlalu banyak makan walaupun pada asalnya makan itu satu kebaikan.

42. Sahabat sejati itu umpama tiram di dasar laut. Ia sukar dicari namun padanya ada sebutir mutiara yang amat berharga.

41. Sesebuah negara dikagumi kerana kepesatannya. Sesebuah masyarakat dikagumi kerana keperibadiannya.

40. Tidur diperlukan untuk merehatkan badan. Tetapi tidur berlebihan akan memenatkan badan.

39. Makan ubat boleh sembuhkan penyakit. Tetapi makan ubat bukan kerana sakit boleh mengundang penyakit.

38. Bangunan tertinggi di dunia tidak pernah sesekali dapat menandingi ketinggian akhlak seseorang insan.

37. Jika masih mahu berputus asa, teruskan. Tapi pastikan sebentar lagi kita akan bangkit semula.

36. Sabun pencuci digunakan untuk menghilangkan kotoran. Tetapi tanpa kotoran, sabun pencuci tidak akan dicipta.

35. Memberi adalah suatu kebaikan. Tetapi tidak kepada pemberi alasan.

34. Rasa mengalah boleh digunakan bagi tujuan merendah diri. Tetapi bukan untuk kejayaan.

33. Untuk gagal, sikap dan fikiran positif tidak diperlukan!

32. Masa lalu memang indah untuk dikenang. Selalu mengenangnya akan menjadi racun.

31. Jadilah seperti ayam. Ketika hidup ia memberi manusia telur. Apabila mati ia beri manusia daging.

30. Seluruh manusia boleh mati kerana kejahatan seseorang. Tetapi dengan kebaikan seseorang, seluruh manusia boleh terselamat daripada segala kejahatan.

29. Mengenang kisah lalu tidak salah. Mengulangi kesilapan lalu adalah satu kesalahan.

28. Belajar adalah proses mendapatkan jawapan. Tidak belajar adalah punca diri kita dipenuhi dengan persoalan.

27. Untuk menukarkan masalah kepada peluang, ilmu diperlukan.

26. Jika semua orang menjauhi kekayaan, itu bererti ilmu sudah tiada lagi manfaatnya.

25. Menjadi kaya adalah satu impian. Menjadi miskin adalah satu pilihan.

24. Masalah akan selesai jika kita mencari penyelesaiannya. Bukan dengan rungutkannya.

23. Peluang besar hanya datang sekali. Jangan bimbang jika terlepasnya, kerana peluang kecil sentiasa ada.

22. Peluang ibarat kek sedap. Jika lambat diambil, orang lain akan mencapainya. Atau ia akan basi sebelum sesiapa memakannya.

21. Pencuri wang boleh jadi kaya tetapi tidak bahagia. Malangnya pencuri masa tidak boleh jadi apa-apa.

20. Masalah adalah peluang. Tetapi peluang bukanlah satu masalah.

19. Peluang itu datang dan pergi. Jangan takut jika terlepasnya. Kerana peluang juga boleh dicipta.

18. Masalah sebenarnya bukanlah masalah. Masalah sebenar adalah apabila kita tidak sedar yang kita mempunyai masalah.

17. Manisnya madu itu adalah hasil keberanian berhadapan dengan ratusan lebah dan sengatnya.

16. Memusuhi diri sendiri adalah lebih bahaya daripada segala jenis musuh diluar.

15. Kejayaan suka mengulit orang positif. Kegagalan suka mengulit orang negatif.

14. Tak perlu besar-besar. Mulakan dengan apa yang ada di tangan.

13. Berprinsiplah seperti ikan di lautan. Meski hidup di air masin, dagingnya tidak sesekali jadi masin.

12. Kejayaan tidak akan datang mencari anda. Melainkan anda yang harus mencarinya.

11. Masalah tidak datang bersendirian. Ia diutus bersama penyelesaian.

10. Lambat atau cepat hadirnya kejayaan, bukanlah isu utama. Persoalannya, adakah kita bersedia mengejarnya tanpa henti?

9. Pemenang tidak akan fokus pada kegagalan lalu, sebaliknya menumpukan pada kejayaan akan datang.

8. Dapat atau tidak bukanlah persoalannya. Bagaimana kita berusaha melakukannya, itulah yang utama.

7. Orang yang hebat itu adalah orang yang tetap bersyukur dan bahagia walau tidak memiliki apa-apa.

6. Semua orang mengalami masalah yang sama. Yang membezakan kita adalah cara kita menyelesaikannya.

5. Janganlah disebabkan hanya satu kelemahan seseorang, kita menidakkan kesemua kebaikan yang ada padanya.

4. Kutiplah pesanan yang baik dari sesiapa sahaja walaupun pemberi pesanan bukanlah sesiapa.

3. Kadang kita harus terjatuh dahulu sebelum mampu bangkit dengan kekuatan yang besar.

2. Hijrah dan dugaan berpisah tiada.

1. Apabila seseorang itu berhijrah (memperbaiki diri), dia juga akan diuji ketika dalam penghijrahannya. Sehingga dia merasakan penghijrahan sebagai suatu yang memeritkan. Hal ini biasa sebenarnya. Namun, berhati-hatilah. Jika tersilap langkah, boleh terjerumus kembali ke dalam jurang yang lebih dalam dari sebelumnya.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

29 Dis 2016

Kisah Ketua Kelas Tiba-Tiba Jadi Budak Lembut


"Guano kotuo kelah kito nih? Awal tahun muko ganah, ujung tahun perangai supo tino," rungut rakan sedorm saya.

Saya pun hairan bagaimana ketua kelas kami daripada seorang yang segak dengan tutur kata yang sopan tiba-tiba berubah jadi seorang lelaki lembut.

"Entah...," saya mengerutkan dahi, "masalah hormon kot."

Kami berdua perhatikan sahaja gelagatnya yang asyik berborak gaya "awww" ditepi katil bersama teman-teman seangkatannya sambil menggelengkan kepala.

Aneh. Sejak masuk asrama, sikapnya berubah. Bila bercakap, tangannya dilentuk-lentukkan, suara digedik-gedikkan.

Meremang bulu ketiak.

Yang paling menggelikan hati, setiap kali mahu mandi, puak-puak ini akan berkemban macam perempuan. Berjalan lenggang-lenggok sambil pegang gayung buruk ke jamban beriring-iringan.

Usai mandi, mereka akan gumpal rambut pakai tuala macam yang orang perempuan selalu buat. Kelakar sungguh.

"Punoh ar sek-sek ni. Takdo maso depe!" kecam salah seorang rakan saya.

Bayangkan pelajar Maahad kami semuanya lelaki. Tiba-tiba wujud kelompok begini. Habis kacau bilau.

Ramai yang mencemuh. Tidak kurang juga yang mencaci.

Namun, siapa sangka. Setelah 14 tahun berlalu, puak-puak lembut yang dahulunya dikeji, kini ramai antara mereka menjadi doktor dan memiliki kerjaya hebat.

Hingga ada seorang rakan berkata, "Kalau aku join geng-geng lembut ni masa kat asrama dulu, mesti sekarang aku pun dah jadi doktor jugak."

Yelah tu!

Muhammad Arif Aizuddin
Lelaki tulen lagi maskulin.

---
Kredit Foto : Luftika.rs
Share:

28 Dis 2016

Kisah Kena Hon Sebab Lambat Jalan


Masa mula-mula dapat lesen kereta dulu, saya selalu kena hon dengan kereta belakang sebab lambat jalan lepas lampu merah bertukar kepada hijau.

Maklumlah, kereta manual. Kena tekan clutch, masuk gear, turunkan hand brake, kemudian kena tekan pedal minyak dulu baru boleh jalan.

Bila dah selalu sangat kena hon, saya belajar tengok lampu isyarat orang. Agak-agak bila lampu sebelah sana sudah kuning, saya cepat-cepat masuk gear satu.

Hijau sahaja, terus jalan.

Siapa yang macam ini, kita geng!

Muhammad Arif Aizuddin
Kadang-kadang saya pun suka hon orang juga.

---
Kredit Foto : Getmyauto.com
Share:

26 Dis 2016

Kisah Makan Maggi Dalam Baldi Di Asrama


Teringat masa belajar di Maahad dulu, kami sama-sama makan Maggi dalam baldi secara berjemaah. Sudahlah guna pen sebagai chopstick, ada pula rakan pakai gayung sebagai mangkuk.

Bila teringat balik rasa nak termuntah pun ada. Tapi inilah pengalaman duduk asrama.

Seronok.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Inilah Sebab Mengapa Saya Menulis Ejaan Penuh Walaupun Di Dalam Whatsapp


Supaya dapat berlatih menulis dengan baik, saya menggunakan ejaan penuh semasa ber-Whatsapp dengan orang rumah dan ahli keluarga kami.

Penggunaan ejaan penuh dalam Whatsapp sebenarnya sangat bagus bagi menjelaskan sesuatu perkara yang kecil atau rumit. Bahkan dapat mengelakkan salah faham dan salah maksud.

Itu yang penting.

Contoh,

"Slm.... sy kt kdai nie. Awk nk kim pape x?"

"Salam, saya kat kedai ni. Awak nak kirim apa-apa tak?"

Beza bukan?

Ayat yang ditulis dengan perkataan penuh lebih mudah difahami dan pembaca tidak perlu meneka-neka apakah maksud "kim" tadi.

Bagi memudahkan urusan menaip, hidupkan Predective Text bahasa Melayu pada keyboard telefon bimbit.

---
Kredit Foto : Interp.com.br
Share:

24 Dis 2016

Kisah Afiah Mengantuk Bila Disuruh Mengaji


Bukan main mengantuk lagi Afiah masa ulangkaji surah-surah lazim semalam. Tersengguk-sengguk. Padahal sebelum itu ligat bukan main. Lompat atas katil, panjat belakang abah, menyanyi-nyanyi.

Habis sahaja baca surah "Inna a'toina", terus dia merangkak naik atas katil, letak kepala atas bantal, kemudian siap tarik selimut tutup badan.

Amboih! Pandai pula tidur sendiri kalau disuruh mengaji.

Nampak tak anak-anak generasi Alpha macam mana?

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah Abah Tak Jumpa Baju Dalam Almari


"Tak jumpa pun."

Laung saya dari dalam bilik. Sudah 3 kali saya geledah almari mencari dua helai t-shirt warna hitam kegemaran saya yang hilang.

Saya bertanyakan kepada isteri. Beliau minta saya cari semula. Saya kata sudah cari banyak kali tapi tak jumpa.

Terus beliau pergi ke almari dan bawa keluar baju-baju tersebut lalu berkata,

"Betul tak jumpa?"

Saya tergamam. Rasa terkejut bercampur hairan pun ada. Macam mana dia buat?

Agaknya inilah keajaiban orang perempuan yang selalu diperkatakan di media sosial.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

22 Dis 2016

Kisah Afiah Pakai Getah Rambut Nyayi


"Bila kita bagi orang hadiah, kita tak boleh ambik balik hadiah tu. Hadiah tu dah jadi orang tu punya. Bila Afiah dah bagi nyayi (nenek) getah rambut, Afiah tak boleh ambik balik getah rambut tu," bebel abah.

"Tapi Afiah punya getah rambut tinggal kat atas. Afiah nak pakai getah apa?" soal Afiah.

"Getah sayur kan ada." Abah selamba menjawab.

Berkerut dahi anak.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

12 Dis 2016

Kisah 6 : Malu Melamar


"Apa pasal Man?" sambil membuka tali helmet lompong tanpa visor, Deki melangkah ke warung Pak Hartono lalu duduk di hadapan Eman Panjang.

"Buah hati aku si Santi rupanya nak kahwin dengan anak Pak Hartono ni," Eman Panjang menjuihkan mulut.

Pak Hartono tersengih lalu datang mencuit bahu si Deki memberi isyarat tanya mahu minum apa. Dijawabnya Nescafe tarik.

Deki, "Kau pernah ajak Santi kahwin tak?"

Eman Panjang, "Tak pernah. Aku malu."

Deki, "Badan tinggi lampai, janggut secekak macam kau ni pemalu? Puih!"

Eman Panjang, "Semua orang tahu dia tu cikgu sekolah, ada degree. Aku ni cuma kerja bengkel kereta je. SPM pun tak lepas."

Deki, "Dengar ni, malu bertanya sesat jalan. Tapi kalau malu melamar, jadilah tetamu di hari pernikahan dia. Kahkahkah!"

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

2 Nov 2016

Kisah 5 : Minyak Punya Pasal


Di warung Pak Hartono, kelibat Eman Panjang sedang asyik membaca akhbar sambil menghirup teh tarik.

Tiba-tiba dia menepuk meja lalu bertempik,

Eman Panjang, "Minyak naik!"

Pak Hartono, "Hah, minyak naik? Ini yang aku naik minyak ni."

Eman Panjang, "Minyak petrol naik, minyak masak pun naik."

Pak Hartono, "Alamak, bulan depan anak laki aku nak kahwin. Tapi dia ni tahi minyak sikit. Tak nak majlis sederhana. Wedding nak buat kat hotel bagai. Membazir je. Puas aku nasihatkan. Mana nak dengar kata."

Eman Panjang, "Bukan ke dari kecik Pak Tono jaga dia bagai menatang minyak yang penuh?"

Pak Hartono, "Dia tu jenis otak minyak. Belajar pandai sampai luar negara. Sekarang gaji besar, berpangkat. Aku bapaknya meniaga warung, dia pandang sebelah mata aje."

Eman Panjang, "Nak kahwin orang mana? Siapa nama?"

Pak Hartono, "Dengan orang Kampung Minyak Beku. Namanya Santi, anak Pak Suparjo."

Eman Panjang, "Itu buah hati saya pak. Penat saya jual minyak. Hish, ini yang rasa nak jadi orang minyak ni."

Pak Hartono, "Eman, kau jangan nak turun minyak kat sini. Gulai kawah aku belum pecah minyak lagi tau."

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 4 : Kanser Paru-Paru


"Tengok tu, bila kita cakap pandai pulak dia tuju ke kita balik," balas Mak Enong sambil menghentak perlahan cawan yang ditangannya hingga berkocak air kopi lalu tertumpah sedikit di atas meja.

"Besok kalau awak sakit siapa nak tanggung? Tokey kilang rokok tu takkan pedulikan awak tau!" bentak bini Pak Ondok beranak satu ini.

Pak Ondok mendengus. Meluat bila bebelan Enong menggegar gegendang telinganya. Diambilnya cawan kopi "O" panas tadi, lalu duduk menyilang kaki di atas kerusi malas.

Tak puas hati dengan sikap endah tak endah lakinya, Mak Enong menambah leteran lagi,

"Doktor Kasim cakap, kos rawatan kanser paru-paru sekarang 8,000 ringgit sebulan tau. Setahun 96,000 ringgit. Tu belum kena GST lagi. Entah berapa pulak kena bayar nanti. Dah la awak tu takde insuran"

"Kantuik wa'ang. Sekarang bukan masalah saya ada insuran takde insuran. Masalah sekarang mulut awak tu yang takde insuran," bidas si tua Ondok mahu menegakkan benang yang basah.

Melihat drama perbalahan kedua ibu bapanya makin marak, Deki bingkas menyambar kunci motor yang disangkut pada cangkuk dinding, lantas cepat-cepat dia hidupkan motor buruk Honda C70 lalu diboncengnya ke Warung Pak Hartono.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik

Share:

Kisah 3 : Beli Honda "Cash"


Sambil membawa secawan kopi "O" panas kesukaan suaminya, Mak Enong melangkah ke ruang tamu lalu menyampuk perbualan dua beranak tadi,

"Abak kau dari zaman bujang sampai kahwin tak pernah nak berhenti hisap rokok. Lepas sarapan pagi, Surya. Lepas makan tengahari, Surya. Karang lepas makan malam, Surya lagi"

Pak Ondok menjeling ke arah isteri yang sudah 30 tahun dikahwininya itu. Kecil besar, kecil besar sahaja dia perhatikan.

Mak Enong sambung berleter lagi,

"Kau cuba kira Deki. Sekotak Surya, 14 ringgit. Seminggu balun 3 kotak, 42 ringgit. Sebulan 168 ringgit, setahun 2,016 ringgit. Dah 40 tahun abak kau hisap rokok. Kurang-kurang dah bakar duit 80,640 ringgit. Kalau abak kau tak hisap rokok, mesti dah boleh beli cash sebiji Honda City 1.5 S+ tau!"

"Awak hisap rokok?" tanya Pak Ondok.

"Mestilah tak!" jerkah Mak Enong sambil mengerutkan dahi.

"Kalau macam tu, mana awak punya Honda City 1.5 S+?" soal Pak Ondok selamba.

Menggigil tangan Mak Enong menahan geram. Rasa mahu curah sahaja air kopi "O" panas atas kepala lakinya.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 2 : Mahu Beli Rokok Surya Hitam Secara Online


Pak Ondok membelek-belek bungkusan yang diterimanya tadi. Terfikir pula apa di dalamnya. Rasa berat. Bila dikocak, berdetap.

"Deki, Deki, Deki!" si tua ini memanggil anak bujangnya.

Panggilan berkali-kali itu akhirnya disahut dengan nada malas dari dalam bilik kusam.

"Ada apa bak?"

"Ni barang kau ni. Orang hantar. Apa benda ni?"

Deki lekas dapatkan bungkusan tersebut. Dengan gopoh, plastik bungkusan itu dikoyak, kotak dibuka dan barang di dalamnya dikeluarkan.

"Cepat betul sampai. Deki beli online kasut ni semalam bak. Ada offer diskaun lagi"

"Oh, iye ke? Kalau macam tu kau belikan abak rokok Surya hitam pakai online jugak, boleh? Tengok kot-kot ada diskaun ke"

Garu kepala anak tunggal Pak Ondok ini. Rasa macam mahu hantuk kepala ke dinding.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 1 : Van Poslaju Susah Cari Rumah


Sedang Pak Ondok menyapu daun kering di laman rumahnya, tiba-tiba datang sebuah van Poslaju lalu membunyikan hon,

"Ponn.. poonn.. pooonnn!"

Terperanjat orang tua itu. Hampir sahaja dibalingnya penyapu lidi itu ke arah pemandu van yang sedang menguak pintu untuk keluar.

"Susah betul nak cari rumah pakcik ni. Jalan sempit, rumah rapat-rapat," keluh pemandu van.

"Ada apa ni? Cari siapa?" tanya Pak Ondok sambil mengesat peluh di dahi.

"Ni ha, ada orang hantar barang ke rumah pakcik," jawab pemandu tersebut sambil menyerahkan bungkusan.

"La, kenapa susah susah. Pos je la. Kan senang," kata Pak Ondok selamba.

Pemandu van Poslaju itu menepuk dahi.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Vecteezy.com
Share:

Kisah Emak Beriya Cabut Kepala Plug


Sejak saya kongsi tip jimat elektrik, nampak ada sedikit perubahan di dalam rumah. Plug televisyen dan mesin basuh dicabut selepas guna. Suis kipas dan lampu dimatikan selepas pakai.

Sudahnya, rumah kami waktu malam lebih gelap, siang pula lebih malap.

Yang paling nampak bersungguh-sungguh mencabut kepala plug ialah emak. Sampai plug pemanas air pun dicabut. Beriya-iya mahu bancuh teh panas, sekali yang keluar air suam. Haiya.

Muhammad Arif Aizuddin
Jimat bajet.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah Abah Lanyak Mainan Kanak-Kanak


Pagi kelmarin, saya sempat bawa Afiah ke Taman Tasik Titiwangsa. Punyalah seronok tengok si kenit ini bermain, sampai saya sendiri sama-sama masuk gelongsor, naik buaian dan menghenyak kuda spring.

Lepas hajatlah katakan. Dulu masa kecil tak dapat main mainan begini. Haha.

Saya perasan ada beberapa peralatan mainan yang rosak. Ada buaian yang tercabut, gelongsor pecah dan ada yang patah. Bahagian yang rosak mereka tanda menggunakan barricade tape warna merah.

Waktu itu, kelibat dua orang kanak-kanak panjat ke bahagian tersebut dan terus menuruni gelongsor patah, namun sempat disambut oleh ibu mereka di bawah. Syukur.

Terfikir juga siapa punya angkara merosakkan mainan disini. Mustahil anak-anak kecil melakukannya kerana mereka tidaklah buas bermain.

...

Setelah berfikir panjang, baru saya tersedar.

Bukankah tadi saya yang seberat gajah ini seronok melanyak mainan kanak-kanak disini semahu-mahunya?

Bayangkan kalau semua orang dewasa buat begitu. Habis jahanam.

Itulah, bak kata pepatah, kata dulang paku serpih, kata orang kita yang lebih. Sepatutnya, saya kena berdiri tepi sahaja. Bukan jadi Afiah.

Oh Tuhan, insaf terus.

Muhammad Arif Aizuddin
Terlupa diri ini bukan lagi kanak-kanak, tapi bapa kanak-kanak.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Khutbah "Selamatkan Anak-Anak Kita"


Seronok benar mendengar khutbah Jumaat hari ini. Khatib pula membaca teks dengan penuh semangat. Ayuh, saya kongsikan intipati khutbah tersebut. Moga bermanfaat.

Tajuk : Selamatkan Anak-Anak Kita.

1. Ketagihan gajet memberi kesan buruk kepada anak-anak jika tidak dikawal dengan betul.

2. Antara implikasi ketagihan gajet adalah menjejaskan kesihatan dan tumbesaran anak-anak, membantutkan perkembangan mental mereka dan membentuk sikap negatif.

3. Setiap ibu bapa atau penjaga perlu mengawal dan mengawasi pergerakan anak-anak ketika menggunakan gajet, menghadkan masa penggunaan, menetapkan peraturan, menggunakan gajet bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan seperti membaca Al-Qur'an dan solat.

4. Setiap ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab memastikan anak-anak menjalani cara hidup sihat dan mengikut cara Islam.

5. Didik anak dengan kasih sayang dan displin, bak kata pepatah Melayu, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya".

6. Contohi akhlak Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anak dengan memberi kasih sayang sepenuhnya, tidak mengasari dan sentiasa memberi pelukan serta ciuman kepada mereka.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah Abah Berjaya Kurangkan Caj Elektrik


Hari ini bil elektrik sampai. Nampaknya rumah ini sudah berjaya jimatkan penggunaan elektrik. Daripada caj RM390 pada bulan Ogos, telah berjaya diturunkan kepada RM290 pada bulan September.

Orang rumah terkejut bagaimana caj ini boleh turun mendadak. Saya beritahu setiap kali selepas guna barang elektronik, saya akan off suis dan cabut plug dari soket. Kecuali suis peti ais.

Ayat yang terakhir itu buat isteri tarik nafas lega.


**Kemaskini terbaru - Caj elektrik pada bulan Oktober berjaya diturunkan kepada RM230!

---
Kredit Foto : Forums.spacebattles.com
Share:

7 Okt 2016

Kejadian Jerebu Dua Tahun Lalu (2014)


Masih ingatkah kita kejadian yang berlaku pada dua tahun yang lalu, tarikh yang sama dengan tarikh hari ini, lebih 3000 buah sekolah di seluruh Malaysia ditutup gara-gara jerebu kuat.

Ya, semua ini berpunca dari pembakaran terbuka hutan-hutan di Indonesia. Waktu itu jualan topeng jerebu laku keras. Masyuk.

Pagi ini, pada tarikh yang sama juga, cuaca sangat dingin. Hujan lebat tidak henti-henti sejak jam 5 pagi tadi sehinggalah sekarang. Syukur pada Tuhan.

Muhammad Arif Aizuddin
Berangan mahu jadi wartawan.

---
Kredit Foto : Ssplashbase.co
Share:

4 Okt 2016

Kisah Pelanggan Singapura Ditipu Peniaga Online


Malam ini garu kepala.

Pelanggan kami dari Singapura enggan melunaskan baki bayaran tempahan kain. Sudah sebulan bayaran tersebut ditangguh walaupun sudah berkali-kali kami follow up.

Nombor Whatsapp kami beliau block. Nampak gaya macam sudah tak mahu lagi berurusan sedangkan wang deposit sudah didahulukan.

Apabila diselidiki, rupanya beliau baru sahaja ditipu ribuan dollar Singapura (Sgd) oleh seorang peniaga online yang menjual beg tangan dari republik itu juga.

Saya fikir betapa beraninya pelanggan ini membeli handbag harga ribu-ribu secara online.

Saya kali terakhir beli online pada bulan lalu. Itupun beli buku berharga RM15. Tak berani nak beli yang mahal-mahal.

Hati-hati membeli online ya kawan-kawan.

Statistik penipuan transaksi jual beli atas talian ini tidak pernah berkurangan. Sentiasa meningkat saban tahun.

---
Kredit Foto : Flexysolutions.it

Share:

3 Okt 2016

Kisah Abah Ajar Afiah Huruf Jawi


Setiap malam, saya akan melatih Afiah mengenal huruf hijaiyyah (jawi) dan cara menyebutnya dengan betul menggunakan teknik fonetik.

Saya tanya, "Huruf yang kurus keding ni kita sebut apa?". Afiah jawab, "Aa... (merujuk kepada huruf Alif)."

Saya tanya, "Huruf yang macam mangkuk tapi ada tiga mata kita sebut apa?" Afiah jawab, "Tha... (merujuk kepada huruf Tha)."

Saya menjeling isteri. Nampaknya beliau seakan mahu tergelak. Saya teruskan lagi,

"Huruf yang macam mulut ternganga tapi ada mata kat atas kepala kita sebut apa?"

Waktu ini isteri ketawa berdekah-dekah. Saya tersenyum lalu bertanya kepada beliau, "Kenapa ketawa?"

"Belum pernah dengar lagi ustaz ustazah ajar macam ni," jawab isteri sambil menahan gelak.

Afiah yang dari tadi memerhatikan kami tiba-tiba mencelah,

"Itu huruf Kho la ibu."

Sungguh tepat sekali jawapan si anak.

Nampaknya Afiah begitu seronok dan berminat dengan kaedah pengajaran saya. Setiap hari beliau dapat kenal dengan huruf-huruf baru.

Cuma saya terfikir bagaimanakah caranya untuk memperkenalkan Afiah dengan huruf "Ya".

Adakah betul kalau saya kata huruf "Ya" tu macam itik tapi ada dua telur kat bawah?

Haha! Kelakar betul bunyinya.

Kalau nyayi (nenek) Afiah dengar, silap haribulan saya yang dibebelnya.

---
Kredit Foto : Babyboom.pl
Share:

Kisah Afiah Tegur Abah "Langgar" Lampu Merah


Ketika saya sedang memandu kereta dan melintasi lampu isyarat berwarna hijau, tiba-tiba Afiah yang duduk di kerusi sebelah memandang saya dengan serius lalu bertanya, "Abah, Afiah nak cakap sikit boleh tak?"

Saya mengangguk. Anak kecil ini datang kepada saya lalu berbisik perlahan di telinga, "Kenapa tadi abah langgar lampu merah?"

Terbeliak biji mata saya. Ditambah pula dengan rasa darah berderau.

"Bila masa pulak abah langgar lampu merah. Tadi kan lampu hijau. Yang merah tu lampu simpang sebelah sana la," jawab saya spontan.

Afiah membalas, "Tau takut. Hehe."

Nampak tak. Anak kecil umur 3 tahun 4 bulan pun sudah pandai bergurau begini. Lemah semangat bapak dibuatnya!

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

21 Sep 2016

Kisah Abah Pujuk Afiah Dengan Cokelat


Suatu hari, ketika saya sedang menghidupkan suis lampu di ruang tamu, terdengar perbualan dua beranak ini di dalam bilik tidur.

"Afiah sayang ibu tak?"

"Sayang."

"Sayang abah tak?"

"Tak!"

"Sebab?"

"Sebab tadi abah tak bagi Afiah tengok telefon."

Tersentap sekejap hati saya. Hanya kerana tak bagi tengok Youtube dalam telefon, anak merajuk. Tapi tak mengapa, saya cuba pujuk dengan cara ini. Perlahan-lahan saya datang kepadanya dan bertanya,

"Afiah suka makan cokelat?"

"Suka."

"Afiah nak makan cokelat banyak-banyak tak?"

"Naaakkk!"

"Ok, Afiah sayang abah tak?"

"Sayang sangat-sangat!"

Nampak tak? Bukan susah nak ambil hati anak. Pancing cokelat je pun. Eh, lain macam je. Macam rasuah pulak.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

20 Sep 2016

Kisah Afiah 'Mimpi' Musang


Ketika saya sedang memandu kereta, terdengar perbualan dua beranak ini di tempat duduk sebelah.

"Ibu, malam tadi Afiah mimpi."

"Mimpi apa?" soal ibu.

"Afiah mimpi musang ambik Afiah," beritahu anak.

"Lepas tu?" tanya ibu lagi.

"Lepas tu musang tu buat apa kat Afiah?" si kecil ini pula bertanya pula kepada ibunya apa yang berlaku seterusnya dalam 'mimpi'nya.

Berdekah kami ketawakan anak. Nampak sangat dia sedang mereka-reka cerita. Ini mungkin proses pembelajaran baginya.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Intipati Khutbah Tentang Perniagaan


Jarang sungguh dapat dengar khutbah Jumaat berkisar tentang perniagaan. Ini saya kongsikan intipati khutbah yang disampaikan pada 20 September dua tahun lepas. Memang rare!

1. Perniagaan adalah ibadat sepertimana yang dianjurkan dalam Islam.

2. Dua orang sahabat besar sebagai tokoh usahawan terhebat iaitu Osman Bin 'Affan R.A dan Abdul Rahman Bin 'Auf R.A.

3. Cara membuka pintu rezeki berdasarkan sunnah baginda Rasulullah S.A.W iaitu amalan solat Dhuha, istighfar, sedekah dan membantu sesama Islam.

4. Jujur dan amanah dalam perniagaan memberi kejayaan di dunia dan di Akhirat.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

19 Sep 2016

Kisah Suami Menjawab Dengan Confident


"Teringinlah nak pergi air terjun Tanjung Piai."

Orang rumah tiba-tiba bersuara. Saya yang sedang membelek Facebook memandangnya dengan pandangan bersahaja.

"Abah tahu kat mana air terjun ni?" tanya orang rumah. Saya dengan yakin menjawab, "Perak".

"Hebatlah abah. Abah memang anak 'Perak sejati'. Dekat Johorlah," orang rumah berseloroh.

Saya tersengih tersimpul malu. Yang penting, confident tu kena ada.

Haha!

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

18 Sep 2016

Kisah Bonggol Jalan Dipanggil "Debok-Debek"


Selepas sarapan pagi tadi, saya bersama isteri sempat berjalan ke pekan Banting. Cuaca waktu itu agak tenang. Kenderaan pun kurang. Kami menyelusuri jalan lama dari Klang ke Bangi.

Dalam perjalanan tersebut, kami bercerita tentang kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak, sekolah, kolej sehinggalah sekarang.

Sedang asyik berborak, tiba-tiba saya brek mengejut. Saya hampir tidak perasan ada bonggol yang agak tinggi. Kotak di bahagian bonet belakang siap melantun, "Gedebuk!".

"Perlahan sedikit bah," tegur isteri.

Saya pun tersengih dan bawa kereta dengan perlahan serta lebih berhati-hati. Takut-takut ada bonggol lagi di hadapan.

"Awak tahu tak, masa saya kecik-kecik dulu saya tak panggil bonggol jalan ni bonggol tau, " beritahu saya.

"Iye ke? Habis tu awak panggil apa?" tanya isteri.

"Saya panggil "debok-debek" je".

"Mana datang perkataan tu?" tanya isteri lagi.

Saya menyambung, "Dulu keluarga kami hanya ada kereta terpakai jenama Opel. Kereta itu agak uzur. Setiap kali langgar bonggol jalan, akan terhasil bunyi,

"Debokkk (bunyi absorber tayar depan)... debekk (bunyi absorber tayar belakang)..."

"Bermula dari situlah saya, abang dan kakak panggil bonggol jalan sebagai "Debok-debek".

Isteri menekup mulut menahan gelak. Akhirnya kami ketawa bersama.

---
Kredit Foto : Artcraft.com.au
Share: