21 Sep 2016

Kisah Abah Pujuk Afiah Dengan Cokelat


Suatu hari, ketika saya sedang menghidupkan suis lampu di ruang tamu, terdengar perbualan dua beranak ini di dalam bilik tidur.

"Afiah sayang ibu tak?"

"Sayang."

"Sayang abah tak?"

"Tak!"

"Sebab?"

"Sebab tadi abah tak bagi Afiah tengok telefon."

Tersentap sekejap hati saya. Hanya kerana tak bagi tengok Youtube dalam telefon, anak merajuk. Tapi tak mengapa, saya cuba pujuk dengan cara ini. Perlahan-lahan saya datang kepadanya dan bertanya,

"Afiah suka makan cokelat?"

"Suka."

"Afiah nak makan cokelat banyak-banyak tak?"

"Naaakkk!"

"Ok, Afiah sayang abah tak?"

"Sayang sangat-sangat!"

Nampak tak? Bukan susah nak ambil hati anak. Pancing cokelat je pun. Eh, lain macam je. Macam rasuah pulak.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

20 Sep 2016

Kisah Afiah 'Mimpi' Musang


Ketika saya sedang memandu kereta, terdengar perbualan dua beranak ini di tempat duduk sebelah.

"Ibu, malam tadi Afiah mimpi."

"Mimpi apa?" soal ibu.

"Afiah mimpi musang ambik Afiah," beritahu anak.

"Lepas tu?" tanya ibu lagi.

"Lepas tu musang tu buat apa kat Afiah?" si kecil ini pula bertanya pula kepada ibunya apa yang berlaku seterusnya dalam 'mimpi'nya.

Berdekah kami ketawakan anak. Nampak sangat dia sedang mereka-reka cerita. Ini mungkin proses pembelajaran baginya.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Intipati Khutbah Tentang Perniagaan


Jarang sungguh dapat dengar khutbah Jumaat berkisar tentang perniagaan. Ini saya kongsikan intipati khutbah yang disampaikan pada 20 September dua tahun lepas. Memang rare!

1. Perniagaan adalah ibadat sepertimana yang dianjurkan dalam Islam.

2. Dua orang sahabat besar sebagai tokoh usahawan terhebat iaitu Osman Bin 'Affan R.A dan Abdul Rahman Bin 'Auf R.A.

3. Cara membuka pintu rezeki berdasarkan sunnah baginda Rasulullah S.A.W iaitu amalan solat Dhuha, istighfar, sedekah dan membantu sesama Islam.

4. Jujur dan amanah dalam perniagaan memberi kejayaan di dunia dan di Akhirat.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

19 Sep 2016

Kisah Suami Menjawab Dengan Confident


"Teringinlah nak pergi air terjun Tanjung Piai."

Orang rumah tiba-tiba bersuara. Saya yang sedang membelek Facebook memandangnya dengan pandangan bersahaja.

"Abah tahu kat mana air terjun ni?" tanya orang rumah. Saya dengan yakin menjawab, "Perak".

"Hebatlah abah. Abah memang anak 'Perak sejati'. Dekat Johorlah," orang rumah berseloroh.

Saya tersengih tersimpul malu. Yang penting, confident tu kena ada.

Haha!

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

18 Sep 2016

Kisah Bonggol Jalan Dipanggil "Debok-Debek"


Selepas sarapan pagi tadi, saya bersama isteri sempat berjalan ke pekan Banting. Cuaca waktu itu agak tenang. Kenderaan pun kurang. Kami menyelusuri jalan lama dari Klang ke Bangi.

Dalam perjalanan tersebut, kami bercerita tentang kisah-kisah lama dari zaman kanak-kanak, sekolah, kolej sehinggalah sekarang.

Sedang asyik berborak, tiba-tiba saya brek mengejut. Saya hampir tidak perasan ada bonggol yang agak tinggi. Kotak di bahagian bonet belakang siap melantun, "Gedebuk!".

"Perlahan sedikit bah," tegur isteri.

Saya pun tersengih dan bawa kereta dengan perlahan serta lebih berhati-hati. Takut-takut ada bonggol lagi di hadapan.

"Awak tahu tak, masa saya kecik-kecik dulu saya tak panggil bonggol jalan ni bonggol tau, " beritahu saya.

"Iye ke? Habis tu awak panggil apa?" tanya isteri.

"Saya panggil "debok-debek" je".

"Mana datang perkataan tu?" tanya isteri lagi.

Saya menyambung, "Dulu keluarga kami hanya ada kereta terpakai jenama Opel. Kereta itu agak uzur. Setiap kali langgar bonggol jalan, akan terhasil bunyi,

"Debokkk (bunyi absorber tayar depan)... debekk (bunyi absorber tayar belakang)..."

"Bermula dari situlah saya, abang dan kakak panggil bonggol jalan sebagai "Debok-debek".

Isteri menekup mulut menahan gelak. Akhirnya kami ketawa bersama.

---
Kredit Foto : Artcraft.com.au
Share: