2 Nov 2016

Kisah 5 : Minyak Punya Pasal


Di warung Pak Hartono, kelibat Eman Panjang sedang asyik membaca akhbar sambil menghirup teh tarik.

Tiba-tiba dia menepuk meja lalu bertempik,

Eman Panjang, "Minyak naik!"

Pak Hartono, "Hah, minyak naik? Ini yang aku naik minyak ni."

Eman Panjang, "Minyak petrol naik, minyak masak pun naik."

Pak Hartono, "Alamak, bulan depan anak laki aku nak kahwin. Tapi dia ni tahi minyak sikit. Tak nak majlis sederhana. Wedding nak buat kat hotel bagai. Membazir je. Puas aku nasihatkan. Mana nak dengar kata."

Eman Panjang, "Bukan ke dari kecik Pak Tono jaga dia bagai menatang minyak yang penuh?"

Pak Hartono, "Dia tu jenis otak minyak. Belajar pandai sampai luar negara. Sekarang gaji besar, berpangkat. Aku bapaknya meniaga warung, dia pandang sebelah mata aje."

Eman Panjang, "Nak kahwin orang mana? Siapa nama?"

Pak Hartono, "Dengan orang Kampung Minyak Beku. Namanya Santi, anak Pak Suparjo."

Eman Panjang, "Itu buah hati saya pak. Penat saya jual minyak. Hish, ini yang rasa nak jadi orang minyak ni."

Pak Hartono, "Eman, kau jangan nak turun minyak kat sini. Gulai kawah aku belum pecah minyak lagi tau."

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 4 : Kanser Paru-Paru


"Tengok tu, bila kita cakap pandai pulak dia tuju ke kita balik," balas Mak Enong sambil menghentak perlahan cawan yang ditangannya hingga berkocak air kopi lalu tertumpah sedikit di atas meja.

"Besok kalau awak sakit siapa nak tanggung? Tokey kilang rokok tu takkan pedulikan awak tau!" bentak bini Pak Ondok beranak satu ini.

Pak Ondok mendengus. Meluat bila bebelan Enong menggegar gegendang telinganya. Diambilnya cawan kopi "O" panas tadi, lalu duduk menyilang kaki di atas kerusi malas.

Tak puas hati dengan sikap endah tak endah lakinya, Mak Enong menambah leteran lagi,

"Doktor Kasim cakap, kos rawatan kanser paru-paru sekarang 8,000 ringgit sebulan tau. Setahun 96,000 ringgit. Tu belum kena GST lagi. Entah berapa pulak kena bayar nanti. Dah la awak tu takde insuran"

"Kantuik wa'ang. Sekarang bukan masalah saya ada insuran takde insuran. Masalah sekarang mulut awak tu yang takde insuran," bidas si tua Ondok mahu menegakkan benang yang basah.

Melihat drama perbalahan kedua ibu bapanya makin marak, Deki bingkas menyambar kunci motor yang disangkut pada cangkuk dinding, lantas cepat-cepat dia hidupkan motor buruk Honda C70 lalu diboncengnya ke Warung Pak Hartono.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik

Share:

Kisah 3 : Beli Honda "Cash"


Sambil membawa secawan kopi "O" panas kesukaan suaminya, Mak Enong melangkah ke ruang tamu lalu menyampuk perbualan dua beranak tadi,

"Abak kau dari zaman bujang sampai kahwin tak pernah nak berhenti hisap rokok. Lepas sarapan pagi, Surya. Lepas makan tengahari, Surya. Karang lepas makan malam, Surya lagi"

Pak Ondok menjeling ke arah isteri yang sudah 30 tahun dikahwininya itu. Kecil besar, kecil besar sahaja dia perhatikan.

Mak Enong sambung berleter lagi,

"Kau cuba kira Deki. Sekotak Surya, 14 ringgit. Seminggu balun 3 kotak, 42 ringgit. Sebulan 168 ringgit, setahun 2,016 ringgit. Dah 40 tahun abak kau hisap rokok. Kurang-kurang dah bakar duit 80,640 ringgit. Kalau abak kau tak hisap rokok, mesti dah boleh beli cash sebiji Honda City 1.5 S+ tau!"

"Awak hisap rokok?" tanya Pak Ondok.

"Mestilah tak!" jerkah Mak Enong sambil mengerutkan dahi.

"Kalau macam tu, mana awak punya Honda City 1.5 S+?" soal Pak Ondok selamba.

Menggigil tangan Mak Enong menahan geram. Rasa mahu curah sahaja air kopi "O" panas atas kepala lakinya.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 2 : Mahu Beli Rokok Surya Hitam Secara Online


Pak Ondok membelek-belek bungkusan yang diterimanya tadi. Terfikir pula apa di dalamnya. Rasa berat. Bila dikocak, berdetap.

"Deki, Deki, Deki!" si tua ini memanggil anak bujangnya.

Panggilan berkali-kali itu akhirnya disahut dengan nada malas dari dalam bilik kusam.

"Ada apa bak?"

"Ni barang kau ni. Orang hantar. Apa benda ni?"

Deki lekas dapatkan bungkusan tersebut. Dengan gopoh, plastik bungkusan itu dikoyak, kotak dibuka dan barang di dalamnya dikeluarkan.

"Cepat betul sampai. Deki beli online kasut ni semalam bak. Ada offer diskaun lagi"

"Oh, iye ke? Kalau macam tu kau belikan abak rokok Surya hitam pakai online jugak, boleh? Tengok kot-kot ada diskaun ke"

Garu kepala anak tunggal Pak Ondok ini. Rasa macam mahu hantuk kepala ke dinding.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah 1 : Van Poslaju Susah Cari Rumah


Sedang Pak Ondok menyapu daun kering di laman rumahnya, tiba-tiba datang sebuah van Poslaju lalu membunyikan hon,

"Ponn.. poonn.. pooonnn!"

Terperanjat orang tua itu. Hampir sahaja dibalingnya penyapu lidi itu ke arah pemandu van yang sedang menguak pintu untuk keluar.

"Susah betul nak cari rumah pakcik ni. Jalan sempit, rumah rapat-rapat," keluh pemandu van.

"Ada apa ni? Cari siapa?" tanya Pak Ondok sambil mengesat peluh di dahi.

"Ni ha, ada orang hantar barang ke rumah pakcik," jawab pemandu tersebut sambil menyerahkan bungkusan.

"La, kenapa susah susah. Pos je la. Kan senang," kata Pak Ondok selamba.

Pemandu van Poslaju itu menepuk dahi.

#KisahOrangMinangKampungGadang

---
Kredit Foto : Vecteezy.com
Share:

Kisah Emak Beriya Cabut Kepala Plug


Sejak saya kongsi tip jimat elektrik, nampak ada sedikit perubahan di dalam rumah. Plug televisyen dan mesin basuh dicabut selepas guna. Suis kipas dan lampu dimatikan selepas pakai.

Sudahnya, rumah kami waktu malam lebih gelap, siang pula lebih malap.

Yang paling nampak bersungguh-sungguh mencabut kepala plug ialah emak. Sampai plug pemanas air pun dicabut. Beriya-iya mahu bancuh teh panas, sekali yang keluar air suam. Haiya.

Muhammad Arif Aizuddin
Jimat bajet.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah Abah Lanyak Mainan Kanak-Kanak


Pagi kelmarin, saya sempat bawa Afiah ke Taman Tasik Titiwangsa. Punyalah seronok tengok si kenit ini bermain, sampai saya sendiri sama-sama masuk gelongsor, naik buaian dan menghenyak kuda spring.

Lepas hajatlah katakan. Dulu masa kecil tak dapat main mainan begini. Haha.

Saya perasan ada beberapa peralatan mainan yang rosak. Ada buaian yang tercabut, gelongsor pecah dan ada yang patah. Bahagian yang rosak mereka tanda menggunakan barricade tape warna merah.

Waktu itu, kelibat dua orang kanak-kanak panjat ke bahagian tersebut dan terus menuruni gelongsor patah, namun sempat disambut oleh ibu mereka di bawah. Syukur.

Terfikir juga siapa punya angkara merosakkan mainan disini. Mustahil anak-anak kecil melakukannya kerana mereka tidaklah buas bermain.

...

Setelah berfikir panjang, baru saya tersedar.

Bukankah tadi saya yang seberat gajah ini seronok melanyak mainan kanak-kanak disini semahu-mahunya?

Bayangkan kalau semua orang dewasa buat begitu. Habis jahanam.

Itulah, bak kata pepatah, kata dulang paku serpih, kata orang kita yang lebih. Sepatutnya, saya kena berdiri tepi sahaja. Bukan jadi Afiah.

Oh Tuhan, insaf terus.

Muhammad Arif Aizuddin
Terlupa diri ini bukan lagi kanak-kanak, tapi bapa kanak-kanak.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Khutbah "Selamatkan Anak-Anak Kita"


Seronok benar mendengar khutbah Jumaat hari ini. Khatib pula membaca teks dengan penuh semangat. Ayuh, saya kongsikan intipati khutbah tersebut. Moga bermanfaat.

Tajuk : Selamatkan Anak-Anak Kita.

1. Ketagihan gajet memberi kesan buruk kepada anak-anak jika tidak dikawal dengan betul.

2. Antara implikasi ketagihan gajet adalah menjejaskan kesihatan dan tumbesaran anak-anak, membantutkan perkembangan mental mereka dan membentuk sikap negatif.

3. Setiap ibu bapa atau penjaga perlu mengawal dan mengawasi pergerakan anak-anak ketika menggunakan gajet, menghadkan masa penggunaan, menetapkan peraturan, menggunakan gajet bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan seperti membaca Al-Qur'an dan solat.

4. Setiap ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab memastikan anak-anak menjalani cara hidup sihat dan mengikut cara Islam.

5. Didik anak dengan kasih sayang dan displin, bak kata pepatah Melayu, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya".

6. Contohi akhlak Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anak dengan memberi kasih sayang sepenuhnya, tidak mengasari dan sentiasa memberi pelukan serta ciuman kepada mereka.

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

Kisah Abah Berjaya Kurangkan Caj Elektrik


Hari ini bil elektrik sampai. Nampaknya rumah ini sudah berjaya jimatkan penggunaan elektrik. Daripada caj RM390 pada bulan Ogos, telah berjaya diturunkan kepada RM290 pada bulan September.

Orang rumah terkejut bagaimana caj ini boleh turun mendadak. Saya beritahu setiap kali selepas guna barang elektronik, saya akan off suis dan cabut plug dari soket. Kecuali suis peti ais.

Ayat yang terakhir itu buat isteri tarik nafas lega.


**Kemaskini terbaru - Caj elektrik pada bulan Oktober berjaya diturunkan kepada RM230!

---
Kredit Foto : Forums.spacebattles.com
Share: