31 Jan 2017

Kedai Nasi Ayam Paling Sedap

Minta maaf. Satu untuk isteri, dua untuk saya. Kahkah!
Punyalah sedap nasi ayam disini sampai saya termakan dua pinggan. Hoho!

Penduduk tempatan panggil gerai ini "Kedai Nasi Ayam Semenyih" sebab premis ini memang tiada papan tanda nama. Dari luar nampak biasa, bila masuk dalam bukan main ramai orang beratur. Tempat duduk pula selalu penuh.

Punyalah panjang beratur. Adalah dalam 15 orang.
Semua ini gara-gara kesedapan menu nasi ayamnya yang tiada tolok banding, kuih cucur udang yang lazat, tauhu goreng dan kerang rebus yang enak.

Ayamnya ada rasa madu, bau harum buat selera makan bertambah-tambah.
Ini menu kedua kegilaan ramai. Cepat sangat habis.
Orang Cina memang gemar tauhu goreng disini. Bukan sahaja rasanya enak malah tekstur dalamannya juga lembut.
Lihat sahaja pelbagai bangsa menikmati hidangan disini hingga warung lama berusia hampir 4 dekad yang diusahakan oleh anak beranak orang Melayu ini terpaksa tutup seawal 4 petang setiap hari.

Saya berani jamin kedai nasi ayam inilah yang paling sedap sekali. Tahap lagenda!

Jika memandu dari Kajang menghala ke Broga, kalian akan lalu di hadapan Masjid Raja Muda Musa di Semenyih, Selangor. Kira-kira 50 meter dari masjid tersebut ada satu simpang kecil di sebelah kanan dan belok ke sana untuk akses ke tempat ini. Gerai ini terletak di hadapan padang Dewan SJK (C) Kampung Baru Semenyih.

Ini koordinat lokasinya, 2.949981, 101.845605.

Waktu operasi : 10 pagi - 4 petang
Hari operasi : Isnin - Ahad (kecuali Jumaat)

Harga

Nasi Ayam : RM5.00 sepinggan
Kuih Cucur Udang : RM1.00 sebiji
Tauhu Goreng : RM1.00 sebiji
Kerang Rebus : RM4.00 semangkuk

Kalau nak rasa kuih cucur udang, kena datang awal. Kalau tak, melopong nanti. Kahkah!
Share:

29 Jan 2017

Seronoknya Bercuti Di Gold Coast Malacca International Resort, Rugi Kalau Tak Bawa Anak-Anak Ke Sana


Baru-baru ini, saya berpeluang bercuti beramai-ramai bersama keluarga di Gold Coast Malacca International Resort, Melaka selama 3 hari 2 malam.

Perjalanan selama 1 jam 45 minit dari Kuala Lumpur ke Bukit Katil sejauh 150 km terasa sangat singkat. Maklumlah bertolak Jumaat pagi, lebuhraya PLUS menghala ke Melaka lengang.

Kira-kira 15 minit selepas kenderaan kami mengambil laluan susur masuk ke Tol Ayer Keroh, kami sampai di sana.

Haruman Kopi Segar Menyambut Ketibaan
Nikmati kopi enak bersama roti bakar, muffin, pai ayam dan kuih karipap.

Sungguh mengujakan apabila ketibaan kami disambut oleh aroma bauan kopi yang harum dari kiosk Sisters 9 Coffee yang dibina berhadapan kaunter reception.

Tambah pula cuaca sederhana panas dan berangin, makin galak anak-anak kecil kami berlari ke sana ke mari di ruang balkoni penyambut tetamu yang luas.

Dapat Check-In Awal
Kedatangan kami 4 jam lebih awal dari waktu check in sebenarnya dengan hajat mahu bawa anak-anak kecil ini mandi manda dahulu di taman tema air.

Memandangkan cuaca mulai panas, terpaksalah menangguhkan niat hingga ke petang sementara menunggu apartmen kosong untuk daftar masuk pada pukul 2 petang.

Namun, atas keprihatinan staf Gold Coast, Kak Ina (bahagian reservation), kami diberikan apartmen lain selepas menunggu hanya 30 minit sahaja. Yeay, terima kasih banyak-banyak kak!

Kapal Perang Laksamana Cheng Ho
Lambang kemegahan.

Uniknya Gold Coast Melaka ini, ada satu replika kapal perang besar tersergam megah di sebelah taman tema air, yang digelar "Admiral Cheng Ho". Anda boleh masuk ke perut kapal, ber-selfie atas dek dan meriam.

Taman Tema Air Yang Sungguh Meriah
Anda boleh bermain sepuas-puasnya disini dari pagi sampai malam.

Resort ini sangat terkenal dengan taman tema air dalam kalangan pengunjung. Manakan tidak, anda boleh mandi manda sepuas-puasnya di kolam berombak (wave pool), berenang-renang di kolam biasa sedalam dada orang dewasa, berendam di kolam Outdoor Jakuzi dan bermain sepuas-puasnya di kolam gelongsor (sliding pool) sepanjang hari.

Secara peribadi, saya sendiri sangat teruja dengan gelongsor setinggi bangunan 2 tingkat ini sehingga saya meluangkan masa 3 kali berturut-turut bermain di Sliding Pool bersama Afiah, 3 tahun, beserta dua orang lagi sepupunya, Aisyah, 6 tahun dan Ammar, 4 tahun.

Sebagai maklumat tambahan, para pengunjung masih bebas mengenakan pakaian mandi waima t-shirt atau pakaian renang (walaupun ada garis panduan berpakaian mandi).

Sebagai Muslim, saya galakkan anda menutup aurat sempurna dan mengenakan pakaian yang longgar dan tidak ketat.

Harga Tiket
Bagi pengunjung luar yang datang semata-mata untuk mandi disini, harga tiket taman tema air bergantung kepada hari. Harga ketika waktu cuti sedikit mahal berbanding hari biasa.

Anggaran tiket bagi seorang dewasa adalah RM30 dan seorang kanak-kanak adalah RM15. Masuk adalah percuma bagi kanak-kanak bawah 3 tahun.

Kereta Angkut Buggy Yang Setia
Kereta angkut Buggy sentiasa bersedia mengambil dan menghantar anda dari resort ke water theme park. Tunggu sahaja di lobi bawah, ia pasti datang.

Keluasan Apartmen Dan Bilik Yang Memuaskan
Di sini, terdapat 4 buah bangunan apartmen utama iaitu Apartmen Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.

Ruang bilik yang luas dan selesa.

Setiap apartmen mempunyai tiga bilik, iaitu bilik katil King, katil Queen dan Single dua katil. Ruangan setiap bilik amat luas dan selesa.

Tab mandi yang boleh buat anda terlupa seketika masalah dunia.

Hanya bilik katil King dan Queen sahaja ada tandas di dalam bilik. Uniknya, tandas disini besar, ada bath tab, dan kalau mahu pancuran air panas atau sejuk, hanya perlu putar kepala paip ke kiri atau ke kanan.

Ruang tamu yang lapang dan selesa untuk berbual mesra bersama ahli keluarga.

Selain itu, ruang tamu yang lapang dan ruangan dapur yang mempunyai peti ais menambah keseronokan. Anak-anak kecil kita puas berlari sekali lagi ke hulu ke hilir. Cuma pastikan sliding door yang menghala ke ke balkoni luar sentiasa dikunci agar keselamatan mereka dapat dijaga.

Masjid Sangat Dekat
Bagi pengunjung luar Melaka seperti saya, solat Jumaat adalah sesuatu yang wajib ditunaikan meskipun sedang bermusafir (jika di kawasan tersebut ada mendirikan solat Jumaat).

Usah risau, disini terdapat satu masjid yang sangat berdekatan dengan resort ini, iaitu Masjid Al-Rahman.

Untuk akses ke masjid ini, keluar sahaja dari pintu utama resort, belok kiri hala ke lampu isyarat, kemudian terus sahaja ke depan melintasi lampu isyarat. Kira-kira 200 meter dihadapan, anda akan nampak kubah masjid disebelah kanan. Sangat dekat. Hanya 3 minit dari hotel.

Koordinat Lokasi Resort

Jika anda berhajat untuk merasai keseronokan di Gold Coast Malacca International Resort bersama keluarga, apakata salin koordinat lokasi hotel ini, 2.247289, 102.306472.

Bagi yang berminat, anda boleh berhubung terus dengan hotel ini di talian 06-235 2888 atau dapatkan maklumat selanjutnya di laman web mereka, https://gcr.com.my/malacca.

Mana tahu esok lusa ada rezeki menginap disini pula.

Muhammad Arif Aizuddin
Tersangkut di dalam gelongsor sliding pool gara-gara pakai seluar jogger pant.


Share:

27 Jan 2017

Kisah Bapa Dukung Anak Semasa Solat


Masa solat Jumaat tadi, ada seorang lelaki bawa anak kecil bersama. Baik sahaja anak tersebut duduk atas riba bapanya sambil mendengar khutbah.

Tiba waktu sembahyang, si kecil itu pun didukung. Bila hendak rukuk, perlahan-lahan anak itu diturunkan ke lantai. Waktu bangkit untuk iktidal, bapa tersebut mendakap semula anaknya ke atas.

Apa yang cukup mengharukan, ketika ingin sujud, dengan cermat si comel itu dibaringkan atas sejadah, lalu dengan tenang si bapa mendaratkan dahi ke bumi melepasi tubuh anak.

Sungguh indah kasih seorang bapa mithali. Hampir sahaja air mata ini berjurai.

Moga Allah merahmati beliau.

Muhammad Arif Aizuddin
Siapa yang mengasihi, dia akan dikasihi.

---

Kredit Foto : Parents.com
Share:

23 Jan 2017

Kisah Disuruh Beli Halia


Balik dari farmasi, orang rumah minta singgah kedai runcit. Nak beli halia katanya.

"Eh, tadi masa pergi farmasi kenapa tak beli sekali?" tanya saya.

"Sejak bila pula farmasi ada jual halia?" soal isteri kebingungan.

Supaya dapur kekal berasap, ikutkan sahaja kata mereka.

---

Kredit Foto : Freepik
Share:

Enaknya Susu Segar Kurma Farm Fresh, Tak Puas Minum Sebotol

Cuaca petang begini memang seronok kalau dapat minum Susu Segar Kurma Farm Fresh sejuk-sejuk. Dia punya rasa sipi-sipi macam cendol. Tak puas minum sebotol.



Istimewanya produk ini, mereka gunakan susu lembu asli yang dicampur dengan ekstrak kurma sebenar. Paling best, susu ini bebas gula dan bahan pengawet. Bukan setakat bagus untuk tulang, baik juga untuk penghadaman.

Orang perempuan cukup suka susu ini. Hadiahkan mereka satu, kalian akan disayangi sampai bila-bila. Haha.

Stok susu kurma ini memang cepat habis. Jadi, lebih baik beli 3 botol terus. Takut menyesal. Satu lagi, susu kurma ini kalian takkan jumpa di pasaraya sebab ia hanya edarkan kepada home dealer terpilih.

Susu Segar Kurma Farm Fresh (700 gram)

Harga RM8 sebotol.
Lokasi Taman Melawati

Hubungi

Puan Mariah - 0126214282
Puan Mariah - 0126214282
Puan Mariah - 0126214282
Share:

18 Jan 2017

Kisah Abah Terperanjat Kena Sergah Dengan Afiah


Sedang saya tengah kusyuk hadap laptop, tiba-tiba Afiah datang menyergah saya,

"Huwaarrghh!"

Terperanjat saya dibuatnya. Mujur tak melatah. Berdekah-dekah si kenit ini ketawakan saya.

Saya pesan pada Afiah, bila mahu menyapa ibu atau abah ucapkan, "Assalamualaikum ibu... Assalamualaikum abah"

Si kecil ini senyum lalu angguk kepala tanda faham.

Muhammad Arif Aizuddin
Kalaulah Afiah tahu abahnya terkejut macam nak gugur jantung....

---
Kredit Foto : Freepik
Share:

10 Jan 2017

Kisah Dua Ekor Bangau Di Sebuah Tasik


Di satu tasik kecil yang terdapat banyak ikan, ada dua ekor bangau. Si bangau A, berjaya tangkap seekor ikan keli dewasa. Saiz keli itu lebih besar dari paruhnya.

Si bangau A cuba telan tapi tak mampu. Di alih ke kanan ke kiri supaya ikan itu masuk ke tekak. Namun tak berjaya.

Si bangau B hanya memerhati perilaku si bangau A sambil memakan roti yang dibaling pengunjung tasik berkenaan.

Si bangau B dapat makan sedikit demi sedikit. Namun akhirnya kenyang.

Manakala si bangau A, akhirnya terpaksa melepaskan keli tersebut ke dalam tasik dan berada dalam keadaan kelaparan.


Jika rezeki (pendapatan) kita kecil hari ini, yakinlah sebenarnya Allah tahu jika dikurniakan kita harta yang banyak, belum tentu kita dapat uruskannya dengan baik.

Bersyukurlah walaupun kita dapat sedikit. Sebab Allah cukupkan kita di suatu bahagian yang kita tak sedar.

---
Kisah ini diterbitkan pada 11 September 2014 dan merupakan pengalaman sebenar penulis ketika berada di sebuah tasik.

Kredit Foto : Freepik
Share:

1 Jan 2017

Kisah Badan Afiah Lebih Berat Dari Sekampit Beras


Ketika mahu membaringkan Afiah, dengan tidak sengaja, badannya terlepas dari pelukan lalu terhempas lembut di atas katil. Dengan mimik berkerut, si kenit ini berkata,

"Abah, kepala Afiah ni nak pakai lama tau bah."

Oh, anak. Abah tak sengaja. Andai kau tahu, badanmu sudah pun lebih berat daripada sekampit beras.

---
Kredit Foto : Hkhadem.ir

Share:

Tak Sangka Terjumpa Komen Ini Ketika Menonton Video-Video Lama Di Youtube


Apabila kita menonton semula video-video lama yang pernah popular di Youtube, kita akan dapati ada orang yang akan letak komen lebih kurang begini,

"Siapa yang masih lagi menonton video ini di tahun 2016?"

Ada perasan tak komen begini?

Jika perasan, maka ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak keseorangan.

---
Kredit Foto : Yenisafak.com


Share:

Kisah Afiah Lukis Gambar Abah Pegang Telefon


Pagi tadi Afiah tunjuk lukisan ini pada saya. Katanya dia lukis gambar saya. Saya fikir dia bergurau. Mana mungkin kanak-kanak umur 3 tahun 5 bulan boleh buat lukisan begini.


Tadi isteri beritahu gambar ini memang si kecil ini yang lukis. Ada kaca mata, dan telefon di tangan. Bila ditanya kenapa telefon ditangan, Afiah cakap sebab saya selalu sibuk online pakai telefon.

Haha.

---
Kredit Foto : Freepik
Share: