29 Jan 2017

Seronoknya Bercuti Di Gold Coast Malacca International Resort, Rugi Kalau Tak Bawa Anak-Anak Ke Sana


Baru-baru ini, saya berpeluang bercuti beramai-ramai bersama keluarga di Gold Coast Malacca International Resort, Melaka selama 3 hari 2 malam.

Perjalanan selama 1 jam 45 minit dari Kuala Lumpur ke Bukit Katil sejauh 150 km terasa sangat singkat. Maklumlah bertolak Jumaat pagi, lebuhraya PLUS menghala ke Melaka lengang.

Kira-kira 15 minit selepas kenderaan kami mengambil laluan susur masuk ke Tol Ayer Keroh, kami sampai di sana.

Haruman Kopi Segar Menyambut Ketibaan
Nikmati kopi enak bersama roti bakar, muffin, pai ayam dan kuih karipap.

Sungguh mengujakan apabila ketibaan kami disambut oleh aroma bauan kopi yang harum dari kiosk Sisters 9 Coffee yang dibina berhadapan kaunter reception.

Tambah pula cuaca sederhana panas dan berangin, makin galak anak-anak kecil kami berlari ke sana ke mari di ruang balkoni penyambut tetamu yang luas.

Dapat Check-In Awal
Kedatangan kami 4 jam lebih awal dari waktu check in sebenarnya dengan hajat mahu bawa anak-anak kecil ini mandi manda dahulu di taman tema air.

Memandangkan cuaca mulai panas, terpaksalah menangguhkan niat hingga ke petang sementara menunggu apartmen kosong untuk daftar masuk pada pukul 2 petang.

Namun, atas keprihatinan staf Gold Coast, Kak Ina (bahagian reservation), kami diberikan apartmen lain selepas menunggu hanya 30 minit sahaja. Yeay, terima kasih banyak-banyak kak!

Kapal Perang Laksamana Cheng Ho
Lambang kemegahan.

Uniknya Gold Coast Melaka ini, ada satu replika kapal perang besar tersergam megah di sebelah taman tema air, yang digelar "Admiral Cheng Ho". Anda boleh masuk ke perut kapal, ber-selfie atas dek dan meriam.

Taman Tema Air Yang Sungguh Meriah
Anda boleh bermain sepuas-puasnya disini dari pagi sampai malam.

Resort ini sangat terkenal dengan taman tema air dalam kalangan pengunjung. Manakan tidak, anda boleh mandi manda sepuas-puasnya di kolam berombak (wave pool), berenang-renang di kolam biasa sedalam dada orang dewasa, berendam di kolam Outdoor Jakuzi dan bermain sepuas-puasnya di kolam gelongsor (sliding pool) sepanjang hari.

Secara peribadi, saya sendiri sangat teruja dengan gelongsor setinggi bangunan 2 tingkat ini sehingga saya meluangkan masa 3 kali berturut-turut bermain di Sliding Pool bersama Afiah, 3 tahun, beserta dua orang lagi sepupunya, Aisyah, 6 tahun dan Ammar, 4 tahun.

Sebagai maklumat tambahan, para pengunjung masih bebas mengenakan pakaian mandi waima t-shirt atau pakaian renang (walaupun ada garis panduan berpakaian mandi).

Sebagai Muslim, saya galakkan anda menutup aurat sempurna dan mengenakan pakaian yang longgar dan tidak ketat.

Harga Tiket
Bagi pengunjung luar yang datang semata-mata untuk mandi disini, harga tiket taman tema air bergantung kepada hari. Harga ketika waktu cuti sedikit mahal berbanding hari biasa.

Anggaran tiket bagi seorang dewasa adalah RM30 dan seorang kanak-kanak adalah RM15. Masuk adalah percuma bagi kanak-kanak bawah 3 tahun.

Kereta Angkut Buggy Yang Setia
Kereta angkut Buggy sentiasa bersedia mengambil dan menghantar anda dari resort ke water theme park. Tunggu sahaja di lobi bawah, ia pasti datang.

Keluasan Apartmen Dan Bilik Yang Memuaskan
Di sini, terdapat 4 buah bangunan apartmen utama iaitu Apartmen Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.

Ruang bilik yang luas dan selesa.

Setiap apartmen mempunyai tiga bilik, iaitu bilik katil King, katil Queen dan Single dua katil. Ruangan setiap bilik amat luas dan selesa.

Tab mandi yang boleh buat anda terlupa seketika masalah dunia.

Hanya bilik katil King dan Queen sahaja ada tandas di dalam bilik. Uniknya, tandas disini besar, ada bath tab, dan kalau mahu pancuran air panas atau sejuk, hanya perlu putar kepala paip ke kiri atau ke kanan.

Ruang tamu yang lapang dan selesa untuk berbual mesra bersama ahli keluarga.

Selain itu, ruang tamu yang lapang dan ruangan dapur yang mempunyai peti ais menambah keseronokan. Anak-anak kecil kita puas berlari sekali lagi ke hulu ke hilir. Cuma pastikan sliding door yang menghala ke ke balkoni luar sentiasa dikunci agar keselamatan mereka dapat dijaga.

Masjid Sangat Dekat
Bagi pengunjung luar Melaka seperti saya, solat Jumaat adalah sesuatu yang wajib ditunaikan meskipun sedang bermusafir (jika di kawasan tersebut ada mendirikan solat Jumaat).

Usah risau, disini terdapat satu masjid yang sangat berdekatan dengan resort ini, iaitu Masjid Al-Rahman.

Untuk akses ke masjid ini, keluar sahaja dari pintu utama resort, belok kiri hala ke lampu isyarat, kemudian terus sahaja ke depan melintasi lampu isyarat. Kira-kira 200 meter dihadapan, anda akan nampak kubah masjid disebelah kanan. Sangat dekat. Hanya 3 minit dari hotel.

Koordinat Lokasi Resort

Jika anda berhajat untuk merasai keseronokan di Gold Coast Malacca International Resort bersama keluarga, apakata salin koordinat lokasi hotel ini, 2.247289, 102.306472.

Bagi yang berminat, anda boleh berhubung terus dengan hotel ini di talian 06-235 2888 atau dapatkan maklumat selanjutnya di laman web mereka, https://gcr.com.my/malacca.

Mana tahu esok lusa ada rezeki menginap disini pula.

Muhammad Arif Aizuddin
Tersangkut di dalam gelongsor sliding pool gara-gara pakai seluar jogger pant.


Share:

2 ulasan:

  1. salam wbth
    jika kita menginap di hotel tersebut, adakah caj dikenakan jika ingin masuk ke water theme park tersebut ?

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam.

    Kalau menginap di hotel, masuk ke water theme park adalah percuma. Mereka akan bekalkan kita wristbands (gelang tangan).

    BalasPadam