12 Feb 2017

15 Cara Terbaik Untuk Dapatkan Sebuah Parkir

Pernah sekali saya dimarahi seorang lelaki gara-gara double park di sebelah kereta beliau depan masjid pada Subuh bulan Ramadhan. Berdarah telinga. Sejak itu, taubat lahum tak buat dah. Biar parkir jauh tak apa. Janji kita bahagia, orang lain selesa.

Masalah parkir ini memang berlaku dimana-mana terutama di kawasan tumpuan seperti bank, pejabat pos, masjid, hospital dan kompleks beli belah. Bila tak dapat parking, kita tak boleh meletakkan kenderaan semborono hingga menyusahkan orang lain. Kita nak hidup harmoni, senyum nampak gigi. Bukan berkelahi, berdarah gusi.

Dan mohon perhatian. Topik ini berkisar tentang isu parkir di area premis bangunan perniagaan dan kedai. Tidak menyentuh isu parkir di kawasan perumahan dan strata. Disini, saya ingin kongsikan 15 tip yang wajar kita lakukan untuk mendapatkan sebuah lot parkir merangkumi plot sebelum, semasa dan selepas.


Sebelum pergi ke tempat parkir sesak :

1. Datang awal

Tanam mindset ini dulu dalam kepala. Datang awal, datang awal, datang awal. Kemudian hadam pepatah ini, “Siapa cepat dia dapat”. Lepas itu, cuba selaraskan kedua-duanya menjadi satu kefahaman, “kalau aku datang awal cepat-cepat, aku akan dapat lot parkir”. Masalah orang kita, sudah tahu area tersebut lot parkirnya cepat penuh, tak mahu rancang datang awal. Suka last minute. Ok, kalau ada yang tanya, “Habis, kalau datang awal pun lot parkir penuh, macam mana?”, saya akan jawab, “Baca tip-tip seterusnya di bawah. Mudah-mudahan membantu, Insyaallah.”

2. Buang pemikiran “Aku nak parkir depan pintu kedai”

Lekas kuburkan pemikiran seperti ini. Bila sampai ke tempat letak kereta, semua orang akan fikir benda yang sama - nak parkir dekat, nak kejar masa, tak nak jalan jauh. Bila lintasan ini datang, kita kena sedar kebarangkalian peluang mendapatkannya tipis. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, kita sabar dan cari parkir lain.

Semasa sampai ke tempat parkir sesak :

3. Elak mencilok parkir orang lain

Seorang pemandu wanita berusia sedang menunggu sebuah kereta keluar dari kotak parkir. Tanpa disedari ada seorang pemandu lelaki di belakang sedang menunggu peluang untuk masuk mendahuluinya. Usai sahaja lot parkir itu kosong, pemandu lelaki itu segera memintas dan berjaya mencuri ruang tersebut. Wanita tua itu kecewa dan menangis lalu beredar. Bayangkan wanita tersebut ibu kita. Apa perasaan kita? Hormati setiap orang agar diri kita juga dihormati.

4. Tidak melakukan double park

Di Malaysia, pesalah double park akan menerima hukuman tanpa bicara oleh masyarakat. Lihat sahaja di Youtube, kenderaan mereka diconteng, dicalar dan dirosakkan. Tak kurang juga pemandunya dicaci malah ada yang dicederakan. Ingat tak ada sebuah video dari luar negara yang memaparkan sebuah kereta dicurah simen konkrit ke dalam bahagian kereta pesalah menggunakan lori simen? Geleng kepala. Kejadian tragik ini kita mahu elak. Bukan dibuat gelak.

Di Kuala Lumpur, ada sesetengah pemandu yang melakukan double park akan menampal nama dan nombor telefon mereka pada cermin kereta. Jika anda lakukan ini, pastikan anda set nada dering paling kuat selepas itu. Apa-apa yang berlaku kemudian, sabar. Elak bergaduh. Jika mahu double park juga, pastikan gear berada pada kedudukan free (untuk kenderaan manual) dan “N” (Neutral - untuk kenderaan auto) serta turunkan handbrake supaya kereta anda boleh ditolak ke depan atau ke belakang. Atau lebih baik kita bawa kawan yang boleh memandu juga menunggu di dalam kereta. Ini langkah bijaksana.

5. Tidak menghalang laluan utama

Sesiapa sahaja yang berkenderaan, elak letak kenderaan hingga menghalang laluan pejalan kaki, laluan motor dan laluan kereta. Usah mengundang risiko kemalangan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja boleh saman dan clamping malah silap haribulan kenderaan kita boleh kena sita. Kan dah menderita.

6. Parkir jauh tidak berdosa

Jika terpaksa letak kenderaan jauh, turunkan dahulu penumpang di hadapan premis, kemudian kita beredar. Bukankah berniat parkir jauh supaya dapat memudahkan orang lain adalah suatu pahala? Bahkan Tuhan pula akan menyenangkan urusan kita. Parkir jauh, dapat bawah pokok teduh. Parkir hujung, urusan cepat siap macam naik bot pancung. Tuhan punya kuasa. Yang penting, niat kena ada.

7. Masuk parkir berbayar tidak salah

Cuba buat perbezaan antara kadar bayaran parkir RM0.50 sejam dengan kadar sekali kompaun RM30. Beza sangat. Kalau ada yang soal, “Kau mana pernah rasa kena bayar parkir RM10 sejam?”, maka saya akan jawab, “Apalah erti wang parkir yang kita keluarkan berbanding dengan dosa yang kita dapat setelah menyusahkan pengguna lain.”

8. Parkir di tempat khas ini kejam

Jika di masjid surau, ada lot parkir khas untuk imam, penceramah serta AJK. Sila parkir tempat lain, ok. Jika di kompleks beli belah, hospital, bank dan pejabat pos ada lot parkir khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), ada lot parkir khas untuk keluarga yang ada anak kecil dan ada zon parkir khas untuk wanita. Sila utamakan hak mereka. Mengapa lot parkir VVIP kita pandai hormat, sebaliknya lot parkir khas ini kita ralat?

9. Tidak mendesak pengguna lain keluar dari kotak parkir

Setiap orang berhak menikmati kemudahan yang diperolehi. Memaksa orang lain segera keluar dari parkir mereka itu gaya samseng. Minta dengan baik dan bertolak ansur. Itu cara kita.

10. Guna kenderaan beroda dua

Masalah parkir adalah dilema utama pemandu kereta. Jadi, apa salahnya sesekali naik motor dan basikal. Parking pun senang. Jika ada yang menyoal, “Barang banyak nak angkut, takkan naik basikal?”, saya galakkan anda manfaatkan kenderaan pacuan empat roda dan amalkan tip pertama. Datang awal.

11. Beli lot parkir sendiri

Tindakan ini lazim dilakukan oleh syarikat atau pekedai yang mengalami masalah parkir di sesetengah tempat. Jika anda mampu, apa salahnya. Lot parkir yang sudah kita beli akan digariskan dengan cat warna merah, dan kita ada hak ambil tindakan undang-undang jika kenderaan lain masuk parking lot tersebut. Best kot!

Semasa sudah mendapat parkir :

12. Masuk parkir dengan kaedah yang betul dan selamat

Tak kira apa-apa skil yang benar, teruskan. Dengan teknologi sistem sensor belakang yang terdapat pada hampir kesemua kenderaan terkini, sekali sekala gayakan teknik “masuk parkir dengan cara mengundur ke belakang” atau disebut reverse angle parking kerana ia memudahkan kita untuk keluar selepas itu. Sila cuba, usah malu.

13. Betulkan kedudukan kereta hingga masuk sempurna ke dalam kotak parkir

Elak parkir hingga makan ruang parkir sebelah. Kedudukan kereta dalam keadaan tidak betul dan senget menyukarkan pemandu lain untuk parkir dengan baik. Malah, ia menjadi punca orang lain turut melakukan tindakan yang sama. Ini bahana.

14. Elak parkir terlalu rapat dengan kenderaan sebelah

Parkir gaya ini menyebabkan kita dan pemandu sebelah sukar keluar daripada kereta. Bukan itu sahaja, bahkan apabila pemandu tersebut cuba melepasi bukaan pintu yang sempit, boleh jadi hujung pintu mereka terkena kenderaan kita lalu kemik dan calar. Mahu?

15. Segera beredar setelah urusan selesai

Tindakan ini harus dipuji kerana ia memberi peluang kepada orang lain mendapatkan ruang parkir dan membantu mereka menyelesaikan urusan masing-masing.

Masalah parkir ini adalah isu lama. Jika tidak ditangani dengan baik, yang sopan boleh jadi baran, yang garang boleh keluar parang. Kita tak mahu kes jenayah berlaku hanya disebabkan sebuah parkir. Yang penting, amalkan sikap bertolak ansur, saling maaf memaafkan dan sentiasa mengikut lunas undang-undang. Baru hidup berkat dan senang.


Muhammad Arif Aizuddin
Penjaga lot parkir hati isteri.

---
Kredit Foto : Boredomtherapy.com
Share:

0 Komentar:

Catat Ulasan