13 Feb 2017

Kisah 7 : Buku Punya Hal

Sambil menunggu Pak Hartono menyiapkan Nescafe tarik, Deki terasa ingin menguji kepala otak si Eman Panjang yang dari tadi asyik mengirim mesej Whatsapp kepada buah hatinya, Santi.

Deki, "Sudah-sudahlah tu. Menyampah aku tengok kau mengekeh sorang-sorang tengok telefon. Orang lain pun ada makwe jugak!"

Eman Panjang mengerling sahabatnya lalu menyimpan telefon Samsung buruknya ke dalam poket sambil mengetap gigi.

Deki, "Sebenarnya, aku ada teka-teki nak bagi kau. Kalau kau pandai jawab, minum petang hari ini aku taja."

Eman Panjang, "Tak ada hal. Tapi kalau kau lari, aku taji."

Deki, "Okay, okay. Macam ni. Dalam banyak-banyak buku, buku apa yang kasi orang kenyang?"

Eman Panjang, "Apa benda punya senanglah soalan kau ni. Sebuku rotilah!"

Deki, "Mak datuk, cerdik pulak kau petang ni. Okay, soalan kedua. Dalam banyak-banyak buku, buku apa yang buat orang wangi?"

Eman Panjang, "Kejap. Kasi aku pegang kunci motor kau dulu. Karang kau cabut lari. Ehem... ehem... Sebuku sabun! Kah! Kah! Kah!"

Berpeluh dahi Deki lihat Eman Panjang mampu menjawab dua buah teka-tekinya. Duit dalam dompetnya hanya ada 50 sen. Cukup-cukup untuk beli sebatang rokok Surya hitam.

Kemudian, Pak Hartono pun datang menghantar Nescafe tarik yang dipesan mereka berdua. Sambil meletakkan minuman tersebut kepada Deki dan Eman Panjang, si tua ini bersuara,

"Kau orang main teka teki ya. Kalau kau orang boleh jawab teka-teki aku, minum petang hari ni tak payah bayar."

Tersenyum dua sahabat ini sehingga menampakkan kuning gigi. Ada orang nak beri rezeki, kalau ditolak rugi.

"Boleh, tak ada hal!" pantas si Eman Panjang menjawab sambil menyalakan api rokok. Terlebih yakin nampaknya disitu.

"Sekejap, sekejap. Kalau tak boleh jawab?" soal Deki dengan rasa ingin tahu.

"Kalau tak boleh jawab, kau orang kena cuci pinggan kedai aku seminggu!" sahut Pak Hartono sambil menggenggam kedua-dua pergelangan tangan Deki dan Eman Panjang.

Tersentak dua kawan karib ini. Lalu si Deki berteriak, "Aku rasa aku dah tahu soalan apa. Alamak!"

Pak Hartono ketawa lalu bertanya , "Apa soalannya?"

Deki dengan mimik sayu menjawab, "Aku tahu Pak Hartono nak tanya, dalam banyak-banyak buku, buku apa yang buat ramai orang lari daripadanya kan. Betul tak?"

Pak Hartono, "Hah, tahu pulak kau soalan aku. Aku nak tanya Eman, apa jawapannya?"

"Buku 555 pak..." jawab Eman Panjang dengan nada mendatar ke bawah sambil memandang muka Deki dengan kening berkerut.

Belum sempat Pak Hartono melibas dengan soalan "Bila nak bayar?", kedua-dua lelaki ini segera melepaskan tangan daripada cengkaman tauke warung usang ini lalu bingkas bangun berlari dan melompat atas motor masing-masing.

Dari jauh kedengaran gema suara Pak Hartono bertempik, "Siapa nak habiskan Nescafe ni! Aku bagi buku lima karang!"

#KisahOrangMinangKampungGadang
Share:

0 Komentar:

Catat Ulasan