17 Feb 2017

Minyak Bon, Pelebat Rambut Lagenda


Ingat lagi tak minyak Bon?

Datuk segala pomade. Haha. Masa tahun 90-an, budak laki suka pakai benda ni. Ada yang pakai atas kepala, nak kasi rambut lebat. Ada yang sapu atas bibir dengan dagu pasal nak misai, janggut tumbuh cepat.

Rupa dan bau minyak Bon ni sebijik macam minyak gris. Likat dan bacin. Tapi peduli apa. Sebab masa tu siapa yang ada kumis, ada jambang, dialah paling kacak. Beratur adik manis hantar surat.

Orang kata, kalau nak lagi berkesan kena ikut petua dia. Mula-mula, tuam bahagian yang nak sapu tu dengan air panas. Bukan air panas mendidih. Sedang-sedang saja. Lepas tu, gonyoh minyak Bon kat bahagian tu waktu malam sebelum tidur. Boleh tahan jugak menjadi kata orang. Dia punya kesan tumbuh tu sampai sekarang jenuh pasal asyik nak bercukur saja. Rasakan.

Bila masuk sekolah asrama Kelantan, kecoh budak-budak pasal pomade lagenda ni. Ada yang kata tak boleh pakai sebab bahan dia ada guna darah kelawar. Entah ya, entah tidak.

Masalahnya, budak-budak lelaki, lagi disebut darah kelawar, lagi dia nak pi cari. Habis dikejarnya kelawar satu asrama semata-mata nak ambil darah. Lepas tu nak sapu kat sideburn kasi berjambang bagai. Ya Tuhan!

Saya pernah pakai minyak Bon ni. Rembat abang punya. Bawak lari ke asrama. Tapi itu dulu.

Bila masuk IPT, kita pakai benda lain. Tak pandang dah Bon ke, Tancho ke. Saya pakai brand lagenda jugak. Tapi nak sebut malu. Nanti ada yang gelak.

Yelah yelah. Pasal dah terlanjur cerita, saya bagitahu jugaklah. Tapi jangan ketawa tau. Saya pakai minyak rambut jenama...

Zam Zam Hair Oil.

Ok, bai.

---
Kredit Foto : Bon4u.com.my
Share:

0 Komentar:

Catat Ulasan